Wednesday, October 19, 2016

Janji kerajaan dalam agenda mentransformasikan pengangkutan awam


Rancaknya pembinaan Aliran Transit Massa (MRT) -  fasa pertama laluan Sungai Buloh-Kajang dijangka beroperasi bermula Disember tahun ini dan seterusnya pada tahun hadapan secara berperingkat-peringkat.

Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) juga telah dipanjangkan menerusi Projek Sambungan Laluan (LPE) dengan 15 stesen yang merentasi kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti Subang Jaya, Glenmarie, Kinrara dan Puchong.


Manakala projek  3 atau LRT3 pula dijangka akan berupaya menampung 74,000 pengguna sehari dan menghubungkan koridor Barat Lembah Kelang seperti Bandar Utama, Shah Alam dan Klang.

Sementara laluan bas berhenti-henti pula ditambahbaik dan disusun semula bagi memperluas liputan laluan dan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ini. Sejak pelaksanaan inisiatif ini, kadar purata penumpang harian meningkat daripada 256,000 pada November 2015 kepada 320,000 pada Disember 2015.

Pada tahun 2012 pula, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga telah melancarkan perkhidmatan bas percuma GoKL bagi memudahkan perjalanan serta memberi alternatif pengangkutan yang selamat dan selesa buat warga Kuala Lumpur.

Dalam tinjauan yang dilakukan SPAD, penumpang harian GoKL meningkat naik 350% daripada 8,450 kepada 38,061 dan dijangka mencapai 58,562 menjelang 2020.

Perkhidmatan bas percuma GoKL ini memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Malaysia yang menggunakannya untuk kegiatan harian, malah turut menjadikan Kuala Lumpur lebih popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Tidak cukup dengan itu, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura yang kini dalam perancangan juga akan meningkatkan hubungan baik kedua-dua buah negara dan memberi manfaat secara langsung seperti hubungan perniagaan selain meningkatkan ekonomi penduduk yang tingal berdekatan dengan laluannya seperti di Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Dalam masa sama, bagi menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam, kemudahan Park & Ride dengan lebih 10,000 tempat letak kereta telah disediakan di stesen-stesen seperti Terminal Bersepadu Selatan, LRT Gombak, KTM Shah Alam, ERL Salak Tinggi dan banyak lagi.

Demikian antara kejayaan yang dicapai pihak kerajaan dibawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi SPAD.

Najib dalam ucapan Perasmian Pameran dan Simposium Pengangkutan Awam Darat (LPT) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Oktober baru-baru ini turut memberi jaminan bahawa pihak kerajaan akan meneruskan agenda mentransformasi pengangkutan awam yang maju, selamat dan mampu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

"Walaupun masih banyak yang perlu kita lakukan dan capai untuk merealisasikan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Negara, saya yakin kita di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran perkongsian pengangkutan awam 40 peratus menjelang 2030 di Semenanjung Malaysia."

Najib yang turut menyiarkan kenyataannya di dalam blognya NajibRazak.com berhubung pengangkutan awam darat mengatakan, sistem pengangkutan awam yang efisien adalah perintis kepada pertumbuhan sosio ekonomi sesebuah negara.

"Oleh itu, di bawah Program Transformasi Negara( NTP), saya telah menggariskan Mempertingkatkan Pengangkutan Awam di Bandar sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama.

"Sejajar dengan itu, SPAD telah ditubuhkan bagi mengemudi Rancangan Induk Pengangkutan Awam Negara, dengan tujuan memastikan pengangkutan awam darat negara sentiasa berkembang dan bertambah maju dari semasa ke semasa, selain menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.

"Laporan Perjalanan 5 tahun Transformasi Pengangkutan Awam SPAD yang saya lancarkan di Simposium Pengangkutan Awam Darat 2016 hari ini mengandungi segala progres dan inisiatif yang telah dilakukan sejak SPAD ditubuhkan, mentransformasi pengangkutan awam negara ke arah yang lebih baik. Anda boleh muat turun laporan ini DI SINI

No comments:

Post a Comment