AdSense

Wednesday, August 17, 2016

TITP rangkum manfaat buat industri teksi Malaysia


Tanpa menoleh ke belakang, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terus komited membangunkan industri pengangkutan awam termasuk perkhidmatan teksi seiring peredaran semasa.


SPAD dalam siaran medianya memberitahu, kabinet telah meluluskan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang menggunakan pendekatan inklusif dan menyeluruh untuk menyelesaikan isu-isu struktur yang sudah lama melanda industri dengan memperkenalkan pembaharuan bagi seluruh industri yang bertujuan mewujudkan persekitaran industri yang adil bagi pemandu, pengendali dan pengguna.

TITP tersebut adalah berasaskan kepada empat prinsip utama iaitu :


  • Memanfaatkan penggunaan teknologi.
  • Meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi.
  • Meningkatkan mutu perkhidmatan pemandu teksi.
  • Menyemak semula kadar tambang teksi.  


Pembaharuan yang telah diluluskan oleh kerajaan menunjukkan arah tuju masa hadapan bagi industri teksi Malaysia untuk terus berkembang dan menjadi lebih mampan serta responsif kepada kuasa pasaran.

Pelaksanaan TITP juga akan menyaksikan SPAD diberikan mandat oleh Kerajaan untuk memperkemaskan dan mengawal selia industri teksi melalui pengeluaran Kad Pemandu yang tunggal. 

SPAD dan JPJ akan memulakan perbincangan bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil dan dijangka akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.

Peraturan-peraturan juga akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat dan pemandu e-hailing bagi memastikan keperluan-keperluan matlamat dasar seperti perlindungan insurans dan keselamatan dipatuhi.

SPAD akan menarik balik pembekuan pengeluaran lesen teksi individu bagi kelas teksi bermeter dan kereta sewa.

Di samping itu, Kerajaan telah meluluskan geran tunai sebanyak RM5,000 bagi membantu pemandu teksi yang mahu keluar daripada model sewa pajak dan membolehkan mereka memiliki lesen teksi individu sendiri.

Walaupun sudah tentu akan terdapat cabaran di dalam melaksanakan TITP bagi menangani persoalan-persoalan dinamik di dalam ekosistem teksi, SPAD percaya di dalam jangka masa panjang, pembaharuan yang bakal dijalankan akan mewujudkan persekitaran industri teksi yang berdaya maju dan mesra pengguna.

SPAD juga sedang bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan di dalam usaha mengurangkan beban pengawal seliaan dan kos, di mana dibenarkan, bagi mewujudkan industri teksi yang lebih terbuka. Sebagai permulaan, pilihan model kenderaan akan dibuka bagi membolehkan pemandu teksi mendapatkan kereta pada harga yang lebih kompetitif.

Sementara 11 program yang akan dilaksanakan adalah :

1. Mengawal selia aplikasi e-hailing sebagai perkhidmatan perantara di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD)

Ini akan memerlukan pindaan kepada APAD. Setelah pindaan itu diluluskan di Parlimen syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan e-hailing wajib diperbadankan di Malaysia dan semua pemandu e-hailing mesti mempunyai Kad Pemandu yang dikeluarkan oleh SPAD.

Kenderaan yang menyediakan perkhidmatan e-hailing juga akan diwajibkan menjalani pemeriksaan kebolehpercayaan jalan. Dalam fasa peralihan, semua syarikat dan pemandu e-hailing akan dikehendaki berdaftar dengan SPAD.

2. Pengeluaran Lesen Individu dan Geran Wang Tunai Kerajaan bagi pemandu yang keluar daripada Sistem Pajak

Bagi pemohon yang layak dan berwarganegara Malaysia, SPAD akan mengeluarkan lesen teksi individu di bawah kelas teksi bermeter dan kereta sewa. Pendaftaran akan bermula pada 1 September 2016 tertakluk kepada kriteria kelayakan termasuk bersih daripada rekod jenayah dan kesalahan di bawah SPAD dan JPJ.

Pemandu teksi yang mahu keluar dari sistem sewa pajak (di bawah kelas teksi bermeter dan kereta sewa), juga akan menerima geran wang tunai berjumlah RM5,000 daripada Kerajaan sebagai subsidi kos membeli kenderaan baru.

3. Membuka Pilihan Model Bagi Kegunaan Teksi

Model-model pilihan kenderaan bagi teksi akan dibebaskan bagi memberikan pilihan yang lebih luas bagi pemegang lesen teksi. Di bawah langkah ini, semua jenama kenderaan dan model yang mencapai penarafan keselamatan 3-bintang di bawah Program Penilaian Kereta Baru ASEAN (NCAP) akan diluluskan. Ini akan membantu mempercepatkan penggantian kenderaan yang lama dan lebih penting lagi, akan mengurangkan struktur kos bagi pemandu teksi dan pengusaha.

4. Piawaian Kontrak Sewa Teksi Dengan Terma-terma Kontrak Di Bawah Undang-undang

Pindaan kepada APAD diperlukan bagi membolehkan pengawal seliaan syarat-syarat kontrak yang akan dikenakan ke atas Pengendali. Di antara cadangan-cadangan yang akan dikenakan adalah termasuk hari percuma dari sewa bagi pemeriksaan PUSPAKOM, cuti tahunan dan cuti sakit, insurans pihak pertama bagi kenderaan dan bayaran balik deposit pada akhir kontrak.

SPAD akan mengawal selia kontrak sewaan baharu dan akan menyeragamkan serta menguatkuasakan pematuhan syarat-syarat wajib dengan memasukkan terma-terma ke dalam Syarat-syarat Lesen Pengendali.

5. KPI Wajib Bagi Pengendali Teksi

Untuk melindungi kepentingan dan kebajikan pemandu teksi, SPAD akan mengenakan KPI wajib ke atas Pengendali teksi. Ini termasuk pengwajiban Flit teksi untuk disambungkan dengan sistem ‘dispatch’ (selain daripada tempahan melalui telefon, membenarkan tempahan melalui aplikasi mudah alih, tempahan melalui laman sesawang ataupun tempahan radio) bagi mengembangkan dan meningkatkan akses perkhidmatan teksi dan pada masa yang sama meningkatan pendapatan pemandu.

Di samping itu operator akan dipertanggungjawabkan di atas kelakuan dan mutu pemandu dan kenderaan.

6. Mengenakan proses saringan yang ketat

SPAD akan meningkatkan mutu pemandu teksi dan melaksanakan satu proses saringan baru yang ketat dan menyeluruh terhadap teksi dan pemandu e-hailing. Ini termasuk pemeriksaan rekod jenayah dan kesalahan trafik dan pelanggaran syarat-syarat Lesen Pengendali.

7. Meningkatkan Piawaian Perkhidmatan menggunakan sistem ‘merit’ dan ‘demerit’

SPAD akan bekerjasama dengan JPJ bagi menyediakan senarai penuh kesalahan pemandu teksi di bawah sistem demerit Kejara yang baharu.

8. Menyelaraskan struktur tambang bermeter

Struktur tambang TEKS1M akan disusun semula bagi melaksanakan struktur tambang teksi bajet semasa. Pemandu dan pengendali yang sudah berada di bawah TEKS1M, mempunyai pilihan untuk mengekekalkan struktur tambang yang sedia ada, sehingga habis had usia kenderaan.

TEKS1M (sedia ada)
‘Flag fall’ : RM 4
Jarak : RM 0.30/200 m
Masa : RM 0.30/36 saat

TEKS1M (Baharu)
‘Flag fall’ : RM 3
Jarak : RM 0.25/200 m
Masa : RM 0.25/36 saat

9. Menyelaraskan kadar tambang berdasarkan zon

Kadar tambang teksi berdasarkan zon, akan digantikan dengan pengiraan berdasarkan jarak perjalanan. Contoh adalah seperti di bawah :

Kadar tambang zon kini (RM) / Selepas penyelarasan (RM)

Bkt. Bintang/Pavillion/KLCC  74.3085.50 
Mid Valley/Bangsar 74.3089.25
Bandar Utama 73.5080.50
Putrajaya 64.2051.80

10.Membenarkan kadar tambang dinamik bagi teksi bermeter yang menggunakan aplikasi e-hailing

Pemandu teksi bermeter akan mempunyai pilihan untuk mengambil penumpang di bahu jalan dan melalui tempahan e-hailing. Mereka diberikan pilihan untuk menggunakan struktur tambang dinamik yang membolehkan mereka mengenakan tambang berdasarkan aplikasi e-hailing.

11.Memperkenalkan program bagi memingkatkan prestasi pemandu teksi

Bagi menerapkan budaya perkhidmatan yang baik, satu program Akreditasi Pemandu Teksi akan diadakan dan merangkumi empat (4) modul termasuk program-program bagi: orientasi pemandu teksi, membangkitkan semangat keusahawanan di kalangan pemandu teksi, cara-cara melayan penumpang dan juga mengenai Keselamatan dan Penyelenggaraan. Latihan ini akan dijalankan oleh pelatih yang dilantik oleh SPAD.

No comments:

Post a Comment