AdSense

Wednesday, July 13, 2016

Pengusaha bas terima padah, lesen dan permit digantung SPAD


Ini bukan cakap kosong tetapi janji dilaksana. Inilah yang terpaksa dihadapi pengusaha bas yang terlibat dalam kemalangan di Km265.8 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora pada 10 Julai lalu apabila lesen dan 26 permitnya digantung oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


Tindakan ini diambil sementara menunggu hasil siasatan dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang sedang dijalankan.

Merujuk kepada laporan audit terhadap syarikat terbabit bertarikh 12 Julai 2016, SPAD mendapati wujud pelanggaran syarat-syarat keselamatan mandatori.


Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah dalam satu kenyataan hari ini yakin tindakan yang dikenakan terhadap syarikat Qistina Express Sdn Bhd itu akan menjadi peringatan buat pengendali bas ekspres yang lain supaya memastikan Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD dipatuhi pada setiap masa bagi mengutamakan keselamatan pengguna.

Dalam kenyataan sama, SPAD juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kerjasama ini bertujuan memastikan para pengendali bas menyelenggara kenderaan masing-masing dengan baik dan mematuhi peraturan lalu lintas serta keselamatan jalan raya.


"SPAD ingin sekali lagi menegaskan bahawa Suruhanjaya memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh pengusaha bas ekspres," kata Mohd Azharuddin.

Sememangnya tindakan yang tegas seperti ini adalah satu keputusan tepat dan relevan. Soal keselamatan dan nyawa penumpang bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Para pengusaha bas seluruh negara perlu menjadi hukuman ini sebagai peringatan.

Bukan saja melibatkan penyelenggaraan kenderaan, status pemandu yang bekerja di dalam syarikat juga perlu diteliti atau ditapis sebaik mungkin. Jangan pula mengambil pekerja yang memiliki saman berkaitan had laju umpamanya sebagai seorang pemandu.

Sudah tentulah individu seperti itu gemar melakukan kesalahan dan tidak mematuhi undang-undang seperti yang berlaku dalam kejadian di Terowong Menora lalu sehingga merempuh 10 kenderaan lain yang tidak bersalah.

No comments:

Post a Comment