AdSense

Saturday, July 23, 2016

Model baharu TEKS1M tidak lama lagi...


Sebelum melangkah lebih jauh, adalah elok jika kita sama-sama meneliti semula isu berkaitan Teksi 1Malaysia ini atau dikenali dengan nama TEKS1M.


TEKS1M yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini merupakan usaha kerajaan memartabatkan imej dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam negara sekaligus berupaya berjalan seiring dengan negara-negara maju yang lain.


Kenapa TEKS1M?

Mana-mana teksi bajet atau eksekutif yang sudah melepasi usia 10 tahun perlu ditukar kepada TEKS1M. Ini sememangnya perlu disambut baik kerana faktor usia kenderaan menjadi perkara penting bila kita sebut tentang memartabatkan imej dan mutu perkhidmatan teksi.

Sekitar bulan Mei 2015, Suara Lensa ada menyiarkan artikel berkaitan penggunaan 1,000 buah TEKS1M yang beroperasi dengan menggunakan model Proton Exora.


Dalam masa sama, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada ketika itu merangka cadangan untuk menjadikan Toyota Innova dan Nissan NV200 bagi mencapai jumlah optimum 7,500 buah TEKS1M.


Ia selari dengan jumlah pemandu teksi yang direkodkan setakat ini iaitu kira-kira 86,000 teksi pelbagai kelas lesen.

Baru-baru ini, SPAD memberitahu pihaknya menerima pelbagai aduan permasalahan daripada pengusaha individu dan pengendali teksi. Antaranya ialah ketidakmampuan menukar kenderaan mereka kepada Proton Exora atas kekangan kos pembelian, penyelenggaran serta masalah-masalah lain berkaitan teknikal.

Ia kemudiannya disusuli dengan laporan media yang mengatakan TEKS1M sebagai gagal menjadi ikon pengangkutan awam Malaysia sedangkan ianya masih terlalu awal untuk diadili.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar memberitahu bahawa usaha memartabatkan imej dan mutu pengangkutan awam darat ini sedang melalui fasa pelaksanaan dan ianya masih diperingkat awal.

Malah SPAD dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa pihaknya telahpun membuka peluang kepada model-model kenderaan lain untuk dijadikan sebagai TEKS1M. Namun ia hanya akan diumumkan kemudian setelah mendapat kelulusan daripada kabinet.

Justeru itu, tindakan menuding jari menyalahkan pihak lain perlu dihentikan segera. Cadangan dan rangka untuk mentransformasikan pengangkutan awam di Malaysia sudahpun tersedia malah telah dan sedang dilaksanakan.

Seperti yang penulis katakan tadi dengan memetik kenyataan Syed Hamid, usaha ini sedang dilaksanakan secara berperingkat. Bukannya boleh dibuat sekelip mata.


Impian untuk menjadikan teksi di Malaysia menjadi antara yang terbaik di Asia menjelang 2017 pastinya dapat dicapai dengan mudah apabila kita sama-sama berusaha keras dan menolak budaya tuding-menuding kerana ia tindakan yang membuang masa.

Apa jua isu dapat diselesaikan dan ditangani tambahan pula SPAD sedari awal sentiasa mengamalkan prinsip keterbukaan dalam menerima idea dan cadangan pihak lain.

Rujuk pautan :

'Upgrade' TEKS1M - Langkah proaktif SPAD

SPAD : Model tambahan Toyota Innova tingkat mutu perkhidmatan teksi




No comments:

Post a Comment