AdSense

Thursday, May 19, 2016

Malaysia ada bas elektrik?


Jangan terkejut, memang betul, kita ada 8 buah bas elektrik atau namanya Bus Rapid Transit (BRT) di Sunway, USJ dan Putrajaya.


Prasarana Malaysia Berhad memberitahu jumlah itu akan ditambah lagi setelah Projek Lanjutan LRT Kelana Jaya Line bermula Jun ini.

Untuk makluman pembaca, BRT ini berupaya menampung kapasiti lebih daripada bas biasa iaitu seramai 67 orang penumpang.


Bas elektrik ini juga boleh melakukan sebanyak 23 perjalanan dalam tempoh sehari manakala jangka hayat tenaga kuasa atau bateri yang digunakan mampu bertahan sehingga 7 tahun.

10 minit diperlukan bagi tujuan mengecas semula bateri kenderaan ini dengan jarak perjalanan sejauh 80km. Namun ia berupaya bergerak sehingga 168km jika dicas selama 2 jam.

BRT dilihat lebih jimat daripada kos operasi apabila dianggarkan 50% penjimatan berbanding bas yang menggunakan diesel.


BRT juga memiliki ruang khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mesra pengguna.

Perkhidmatan bas ini yang akan berada di sekitar Putrajaya Sentral dan kompleks kerajaan bagaimanapun belum dimuktamadkan lagi dari segi tambang yang bakal dikenakan.

Kewujudan BRT ini membuktikan bahawa negara kita selangkah lagi ke hadapan dalam menambahbaik dan membangunkan sistem pengangkutan awam.

Sekalung tahniah wajar diberikan kepada semua pihak yang kekal komited merealisasikan hasrat kerajaan ini termasuklah Prasarana dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

No comments:

Post a Comment