AdSense

Wednesday, April 20, 2016

#PRN11Sarawak : MCA jadi 'kuli'


Parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar selepas UMNO iaitu MCA bersedia untuk dikerahkan sebagai 'kuli' pada tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri ke 11 (PRN11) Sarawak tidak lama lagi.

Kenyataan itu dilafazkan sendiri Timbalan Presiden MCA Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika mengadakan sidang media di Putrajaya sebentar tadi.


Menurut Ka Siong, adalah menjadi tanggungjawab parti (MCA) untuk bekerja keras membantu mana-mana parti komponen dalam BN apatah lagi pada musim pilihanraya.

Pastinya jentera-jentera MCA akan dikerahkan di setiap pelusuk Sarawak bagi memastikan kemenangan calon-calon BN yang bertanding.

"MCA hadir sebagai sokongan moral kepada rakan-rakan yang bertanding di Sarawak. Itu memang tanggungjawab kita untuk membantu rakan-rakan dalam BN untuk menang dalam pilihanraya.

"Presiden parti, saya, menteri-menteri dan timbalan menteri dari MCA akan turun ke sana. Kita akan jadi kuli," katanya berseloroh.


Inilah maksud disebalik perkataan 'kuli' yang disebut Ka Siong. Membuktikan MCA sentiasa bersedia bekerja keras dan bertungkus lumus memastikan kemenangan kekal milik BN.

Dalam masa sama ingin memberikan mesej kepada parti lawan bahawa semangat bersatu padu setiap parti komponen BN tidak sesekali dapat dipecahbelahkan dengan mudah. Berbeza dengan mereka (parti pembangkang) yang saling bertikaman antara satu sama lain dalam pakatan yang dicipta.

Sementara ketika diminta mengulas tentang kononnya wujud sekatan demokrasi di Sarawak sebagaimana dilemparkan sesetengah pihak, Ka Siong menyifatkan ia sekadar isu yang sengaja dimainkan pembangkang.


Ka Siong yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pastinya mempunyai sebab kukuh kenapa sesetengah individu dilarang daripada menjejakkan kaki ke bumi Kenyalang itu.

Bukan pemimpin pembangkang sahaja, pemimpin atau aktivis dikalangan penyokong Barisan Nasional juga mengalami nasib sama. Ia sekaligus membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak memihak kepada mana-mana kelompok atau kecenderungan politik dalam melaksanakan larangan memasuki negeri itu.


Sepertimana yang dijelaskan Adenan sebelum ini, tindakan larangan memasuki Sarawak yang dikenakan kepada sesetengah individu itu dibuat bagi memastikan perjalanan dan proses PRN11 dapat berjalan lancar.

Selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan 11 April lalu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kemudiannya mengumumkan 7 Mei sebagai tarikh mengundi di PRN11 Sarawak. Sementara penamaan calon pada 25 April dan undi awal 3 Mei ini.

No comments:

Post a Comment