AdSense

Saturday, February 6, 2016

Pemandu bas samseng - SPAD syor tarik lesen PSV


Masih ingat video viral membabitkan pemandu bas ekspres yang bertindak mengasari penumpang tempoh hari?

Hari ini, 6 Februari 2016, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam kenyataannya memberitahu bahawa kertas siasatan berhubung kejadian tersebut sudah lengkap dan kini dalam proses tindakan undang-undang.

Hasil siasatan itu, SPAD telah mengeluarkan surat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memohon pembatalan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pemandu terbabit.

Nah! Tindakan tegas seperti ini wajar dipuji sekaligus menjadi pengajaran kepada individu terbabit dan menjadi iktibar buat pemandu-pemandu yang lain.

Dalam masa sama, tindakan undang-undang turut dikenakan kepada pengendali bas terlibat kerana melanggar syarat-syarat lesen yang ditetapkan. Ini termasuklah kegagalan untuk memastikan pemandu bas agar sentiasa berkelakuan baik dan beretika ketika bertugas.

Ini membuktikan pihak SPAD begitu serius dalam menangani hal sedemikian. Ia juga memberi peringatan keras kepada industri bagi memastikan pengusaha bertanggungjawab keatas kelakuan pemandu dan untuk terus memberikan perkhidmatan yang baik kepada penumpang.

Untuk makluman pembaca, pada 1 Februari lalu, SPAD telah menjalankan siasatan terhadap pemandu, syarikat pengendali, penumpang dan saksi kejadian terbabit.

Sebelum ini, sebuah klip video memaparkan adegan pergaduhan membabitkan seorang pemandu bas ekspres dengan penumpang ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang pada 25 Januari 2016 lalu menjadi viral dan dikecam pengguna media sosial.

Sekalung syabas dan tahniah buat pihak SPAD yang bertindak secara pantas tanpa kompromi dalam usaha membela nasib pengguna yang dikasari. Apa yang paling penting, ia adalah bagi memastikan industri pengangkutan awam darat kekal relevan dan terus menjadi pilihan netizen.

Dalam perkembangan sama, SPAD menggesa orang ramai yang telah mengalami kejadian seumpama ini agar segera membuat aduan melalui emel: aduan@spad.gov.my atau hubungi talian hotline ADUAN SPAD: 1-800-88-7723 (SPAD) bagi membolehkan tindakan yang sewajarnya dapat diambil. Dengan maklumat yang tepat, pemandu yang tidak bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan dikenakan tindakan.

1 comment: