Isu berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menjadi bahan menarik parti pembangkang. Bagi mereka, TPPA berupaya menjadi modal besar untuk memperlekehkan kerajaan pemerintah.
Bukan sahaja parti pembangkang, ada juga sebahagian daripada penyokong atau ahli termasuk pemimpin dikalangan parti pemerintah terpedaya dengan bahan penarik ini.
Samada mereka kurang membaca, kurang mencari fakta atau terpengaruh dengan budaya menuding jari dan emosi tanpa kawalan.
Apatah lagi maklumat tentang TPPA ini dijelaskan dengan bilangan mukasurat yang tebal. Sifat malas membaca sememangnya sudah sebati dengan masyarakat dewasa ini.
Sebenarnya, kerajaan menerusi kementeriannya terutama sekali yang berhubungkait dengan perdagangan ini sudahpun meneliti isi kandungan yang terdapat di dalam TPPA. Pastinya ia merupakan tempoh yang mencabar dan sukar sepanjang proses meneliti isi kandungan perjanjian tersebut.
Setelah mengambil tempoh yang agak lama, Malaysia membuat keputusan dengan menandatangani TPPA. Keputusan sama turut diambil oleh 12 negara lain iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Ya, Brunei yang dikenali sebagai negara Islamik dan Jepun yang maju turut serta dalam TPPA ini. Sedia maklum, Brunei cukup lantang mempertahankan kedaulatan negara mereka. Begitu juga Jepun yang cukup bangga dengan negaranya. Apakah kedua-dua negara yang dijadikan contoh ini dengan senang 'menyerahkan tengkuk' pada barat untuk disembelih?
Pastilah tidak. Kerajaan mereka sudah tentu meneliti buruk baiknya TPPA ini. Perkara sama juga diambil perhatian oleh Malaysia. Jadi, dakwaan yang mengatakan negara bakal dijajah barat kerana TPPA adalah satu tanggapan salah.
Berbalik pada tajuk di atas, bagaimana FELDA boleh perhebat atau memperluaskan pasaran mereka di peringkat antarabangsa dengan TPPA?
Menurut Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, perjanjian terbesar dunia itu dilihat sebagai peluang keemasan kepada Felda untuk menembusi pasaran khususnya di Amerika Latin, yang menjadi fokus kepada organisasi tersebut.
"TPPA ini kerajaan masuk dan kemudian dimomokkan pula kononnya Amerika Syarikat akan menjajah kita. Ini semua tidak benar. Felda sendiri ada kilang di Amerika Syarikat dan adakah kita menjajah Amerika Syarikat? Tidak.
"Apa yang berlaku, dengan TPPA kita seronok apabila kita (Felda) boleh meluaskan pasaran kita. Kita dah mula buat perancangan untuk meluaskan pasaran kita di Amerika Latin," tegas beliau.
Pembaca juga pastinya sedar bahawa TPPA ini membuka peluang kepada syarikat-syarikat dalam negara untuk menembusi pasaran dunia. Apabila bebas cukai import, harga produk-produk yang didagangkan pastinya berada pada paras selesa. Erti kata lain, ia menjadikan peluang setiap produk yang hendak dijual akan meningkat!
Tanyakan saja pada rakan-rakan pembaca yang terlibat dengan aktiviti perniagaan. Apakah syarikat mereka boleh menembusi pasaran antarabangsa dengan mudah? Pernahkan syarikat tempatan berupaya memasuki pasaran baharu seperti Mexico, Peru dan Chile? Tahukah anda bahawa ketiga-tiga negara ini merupakan pintu masuk ke Brazil, Argentina, Colombia dan negara-negara jirannya?
Justeru itu, isu TPPA ini sepatutnya tidak diputar belitkan dengan fitnah-fitnah kotor yang bertujuan memperlekehkan kerajaan. Manfaatnya mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh singkat.
Namun ia akan menjadi satu sejarah baharu kepada pengembangan dagangan dan pemantapan ekonomi Malaysia!
#TerimaFaktaTolakFitnah
No comments:
Post a Comment