AdSense

Thursday, January 28, 2016

Bila TPPA beri manfaat, mulalah pembangkang tagih nama!


Tugas dan amanah yang dipikul sebagai parti pembangkang adalah membangkang.

Jika tidak membangkang, maka mereka akan dilihat sebagai sebahagian dalam parti pemerintah. Ia sekaligus menyebabkan rakyat yang menyokong pembangkang akan berpihak kepada parti pemerintah. Situasi yang cukup membimbangkan pembangkang.


Sebab itu di Malaysia, kita dapat menyaksikan aktiviti-aktiviti membangkang ini dijalankan setiap masa sekalipun perkara yang dibangkang itu memberi kebaikan serta manfaat kepada rakyat.

Isu berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) misalnya, sengaja digembar gemburkan dengan pelbagai dakwaan yang cenderung ke arah kefahaman negatif.

Usaha sedemikian bukan sahaja berlaku dalam sehari dua tetapi sudah berlarutan sejak setahun dua kebelakang.

Aktiviti menidakkan usaha kerajaan ini sampai kemuncaknya ketika Persidangan Khas TPPA di Dewan Rakyat pada hari kelmarin dan semalam.

Wakil-wakil dikalangan pembangkang yang menyertai perbahasan tersebut dilihat hanya membangkitkan persoalan-persoalan yang dinilai dari sudut negatif.

Lebih teruk, mereka berusaha bertungkus lumus semata-mata mahu menakut-nakutkan rakyat sedangkan TPPA pada hakikatnya menawarkan lebih banyak kebaikan berbanding keburukan.

Diminta memberi komen, Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berpendapat bahawa TPPA sebenarnya berupaya membuka peluang pasaran dan kuasa membeli menjadi lebih luas.


Bilangan penduduk negara-negara anggota TPPA yang ramai secara tidak langsung menyediakan potensi syarikat-syarikat kecil dalam negara untuk lebih berkembang dan berdaya maju.

Dalam masa sama, agenda bumiputera turut dipertahankan sekaligus memberi satu penghormatan daripada syarikat-syarikat besar kepada negara kecil seperti Malaysia.

Biasalah, pembangkang lazimnya akan berterusan menyerang kerajaan pemerintah. Apatah lagi jika sesuatu isu itu memberi kelebihan kepada kerajaan seterusnya membawa manfaat buat rakyat. Bila rakyat gembira dengan kejayaan yang diusahakan kerajaan, sudah pasti ia menghakis sokongan rakyat kepada pembangkang.

Hari ini Dewan Rakyat telah meluluskan usul berkaitan penyertaan Malaysia dalam perjanjian TPPA dengan menyaksikan seramai 127 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak.

Jangan pula selepas ini apabila rakyat menikmati kebaikan daripada TPPA, pihak pembangkang dengan tanpa segan silu menagih kredit!

*Selalunya macam tu... Apa saja usaha kerajaan yang membawa kebaikan kepada rakyat pasti ditentang. Bila usaha itu memberi pulangan positif, dengan tebal muka mengaku bahawa ia adalah hasil daripada titik peluh perjuangan mereka!

No comments:

Post a Comment