Sunday, December 20, 2015

TAK CUKUP! - SPAD arah tambah bas


Berikutan permintaan tinggi dikalangan orang ramai terhadap pengangkutan awam, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengerahkan tambahan bas bagi menampung permintaan itu.

Sebanyak 59 buah bas akan ditambah secara berperingkat-peringkat di kawasan yang menerima permintaan tinggi daripada pengguna.


Ini merupakan langkah proaktif atau tindakan pantas SPAD berhubung isu-isu berkaitan pengangkutan awam. Di samping itu ia juga merupakan usaha pemantapan SPAD dalam Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-Henti (BNR).

Sedia maklum, dewasa ini orang ramai sudah mula tertarik dengan sistem pengangkutan awam yang semakin bertambah baik. Tidak hairanlah apabila berlakunya permintaan tinggi dikalangan mereka.

SPAD dalam kenyataannya turut meminta pengendali-pengendali yang mengalami masalah kekurangan bas supaya menyewa daripada pengendali yang lain bagi mengatasi masalah berkenaan sementara mendapatkan bas yang baharu.

Dalam hal ini, permintaan tinggi yang diterima daripada pengguna adalah melibatkan Koridor Jalan Ipoh dan Sungai Besi. Laluan-laluan termasuk kawasan Kepong, Selayang dan Puchong akan menerima pertambahan bas tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, SPAD juga menitikberatkan soal kekerapan atau tempoh masa menunggu oleh para pengguna bas ini.

Untuk makluman pembaca, sebanyak 22 buah bas tambahan akan ditempatkan di Koridor Jalan Ipoh sekaligus memberi keselesaan buat pengguna di laluan Taman Ehsan, Sri Sinar, Bandar Baru Selayang dan Selayang Utama.

Manakala 10 lagi bas tambahan pula dikerahkan beroperasi di Koridor Sungai Besi yang meliputi Serdang dan laluan dari Putrajaya ke Bandar Utama.

Masalah kekurangan bas di Koridor Lebuhraya Persekutuan juga akan diselesaikan apabila sebanyak 27 buah bas akan ditambah dikawasan yang merangkumi Kampung Delek, Pandamaran, Seri Pendamar, Johan Setia, Sungai Rasau, Banting dan Bandar Klang bermula 25 Disember ini.

Jelas di sini bahawa orang ramai mempunyai kuasa sebagai pengguna. Sebab itu SPAD ketika melancarkan BNR sudah menegaskan bahawa pihaknya sentiasa berlapang dada dan menerima suara rakyat.

Apa jua pendapat dan pandangan yang relevan boleh diajukan kepada SPAD. Sememangnya penubuhan SPAD adalah bagi tujuan membangunkan industri pengangkutan awam darat supaya menjadi bertambah baik.

Sekiranya anda mempunyai cadangan / idea / pertanyaan boleh saja hubungi pihak SPAD di talian 1-800-88-7723 atau e-mel kepada aduan@spad.gov.my. Anda juga dialu-alukan berkongsi maklum balas melalui media sosial di www.facebook.com/SPAD.my dan Twitter - @aduanSPAD dan @SPADchannel.

Artikel berkaitan BNR di SINI

No comments:

Post a Comment