AdSense

Wednesday, November 4, 2015

VAPE : Pemuda UMNO Tidak Setuju Tindakan Kementerian Kesihatan


Pergerakan Pemuda UMNO tidak bersetuju dengan keputusan terburu-buru Kementerian Kesihatan untuk merampas sebarang cecair nikotin yang dijual oleh peniaga rokok elektronik, atau “vape”.

Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, kementerian sepatutnya menumpukan usaha yang lebih penting iaitu kempen hidup sihat dengan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya rokok.



Di Malaysia, katanya, antara 10% hingga 12% dari punca kematian adalah kerana amalan merokok iaitu lebih 10,000 kematian setahun, malah Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan bahaya merokok adalah haram.

Sedangkan  masih tiada kajian saintifik terhadap bahaya vape yang dilakukan di negara ini, dan masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengharamkan atau mengambil tindakan terhadap rokok elektronik itu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam bahawa peniaga e-rokok tidak mempunyai lesen untuk menjual produk nikotin, seperti termaktub bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983.

Sebagai menteri yang berpengalaman, katanya, Subramaniam perlu memperhalusi terlebih dahulu tindakan untuk mengharamkan vape kerana bimbang tindakannya itu tidak tepat, memandangkan kini semakin mula diterima sebagai alternatif menggantikan tembakau dan nikotin.

Malah mesyuarat Kabinet sebelum ini memutuskan bahawa kerajaan tidak akan mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) itu  berkata, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut tidak bersetuju rokok elektronik itu diharamkan kerana tidak memahami aspirasi anak muda.

Nazir Akhtar berkata, mengikut kajian yang dibuat oleh beberapa universiti terkemuka antarabangsa, vape tidak memberi mudarat berpanjangan yang nyata seperti mana kesan kesihatan yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang mendapat penyakit kronik kesan, daripada tembakau dan nikotin.

Apa sebenarnya agenda Subramaniam sebenarnya apabila beliau mahu bertindak memerangi vape? Apakah kerana vape tidak mendatangkan cukai yang tinggi kepada negara seperti mana rokok?

Beliau menyarankan Kementerian Kesihatan mengehadkan kawasan menghisap vape seperti kawasan larangan merokok yang dilaksanakan sekarang ini bukan mengharamkannya.
Pada masa yang sama kerajaan juga perlu fokus dan menyegerakan pelaksanaan undang-undang pengawalan terutama bagi mengelakkan penyalahgunaan dan larangan kepada remaja bawah umur.

Selepas ada kajian konkrit mengatakan vape ini menjejaskan kesihatan, barulah rokok elektronik ini diharamkan penggunaanya.
Jadi, Kementerian Kesihatan jangan buat keputusan yang terburu-buru.

Nazir Hussin Akhtar Husin
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Msia
Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan

No comments:

Post a Comment