AdSense

Tuesday, October 27, 2015

Perkembangan terkini mengenai keretapi laju KL - SG yang perlu anda tahu


Mungkin ramai yang sedia maklum bahawa projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur dan Singapura ini sedang dalam perhatian kerajaan untuk direalisasikan.

Maka itu Bajet 2016 sepertimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini menyaksikan kesungguhan kerajaan berhubung soal pembangunan pengangkutan awam termasuklah apabila memberitahu bahawa Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) ini akan diteruskan.


Berbalik kepada HSR, pada 16 Oktober lalu, sebanyak 150 syarikat dan konsortium meliputi rangkaian nilai industri HSR yang berpusat di Malaysia, Singapura, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Utara telah mengambil bahagian dalam Kaji Selidik Pasaran Bersama bagi projek ini.

Kajiselidik ini dilancarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Land Transport Authority Singapura (LTA).

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua belah pihak melahirkan rasa teruja mereka terhadap sambutan yang cukup positif daripada syarikat dan konsortium terlibat. Segala maklum balas dan pandangan daripada pasaran tersebut perlu dikemukakan sebelum jam 12 tengahari pada tarikh 18 November 2015 ini.

Sementara syarikat-syarikat yang masih belum mendaftar minat untuk menyertai kaji selidik pasaran ini tetap berpeluang untuk melakukannya.

Maklumbalas ini adalah penting kepada kedua-dua belah pihak (SPAD dan LTA) bagi membolehkan mereka membentuk model komersial yang bakal digunapakai seterusnya memastikan projek berkenaan dapat dilancarkan dengan jayanya.

Projek keretapi laju sepanjang 300 kilometer yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura ini merupakan antara cita-cita kerajaan dalam usaha membangunkan negara.

Cadangan projek yang dikemukakan pada tahun 2013 itu bakal mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit berbanding kira-kira lima jam melalui jalan raya, tujuh jam dengan kereta api dan sejam dengan kapal terbang.

Dengan berjayanya projek ini, ia dilihat sebagai suatu perkembangan strategik kepada hubungan dua hala yang seterusnya akan meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura. Namun apa yang paling penting, ia berupaya melonjakkan pembangunan di sepanjang laluan dan stesen-stesen.

No comments:

Post a Comment