AdSense

Friday, September 25, 2015

Rasa benci kepada @IsmailSabri60 mula berubah





Sebenarnya, penulis juga tak berapa suka pada menteri yang seorang ni... iyalah, kaum kerabat penulis ada di serata pelusuk negeri Pahang. Termasuk di kawasan Parlimen Bera. Macam-macam dengar cerita pasal wakil rakyatnya... Paling banyak keluhan adalah mengenai 'hilangnya' ahli yang berhormat yang sepatutnya sentiasa mendampingi mereka.

Namun, perasaan negatif penulis terhadap YB ni semakin berubah. Selepas memegang jawatan menteri dengan portfolio yang tidak kurang mencabarnya, maka sedarlah penulis bahawa beliau kini sibuk bermain dengan isu di peringkat nasional.

Bermula dengan isu atau tuduhan rasis yang pernah dilemparkan kepada beliau. Tidak lama selepas isu itu timbul, penulis cuba menjenguk ke kawasan yang dimenangi beliau ketika pilihanraya lalu - Bera.

Nah! Berdirinya billboard dan kain rentang di serata jalan laluan menghala ke Bera dari Temerloh. Termasuk di sekitar pekan kecil Triang - kawasan yang dihuni kebanyakan kaum Cina. Billboard dan kain rentang tertera ayat-ayat menyokong kepimpinan Ismail Sabri. Apa yang pasti, ia lahir daripada akar umbi UMNO dan Barisan Nasional.

Terbaharu, mengenai semangat menteri ini yang mahu mewujudkan hub perniagaan yang besar khas buat orang Melayu atau Bumiputera. Tidak lama selepas insiden pergaduhan di Plaza Low Yat - gedung perniagaan yang dimonopoli oleh kaum Cina. Ya, Bukit Bintang merupakan kubu kuat DAP. Cukup kuat.

Mungkin tidak terlintas difikiran orang Melayu bahawa akan ada hub perniagaan khas untuk mereka. Iyalah, sebut sahaja bidang perniagaan atau ekonomi, minda seluruh rakyat Malaysia akan tertumpu kepada satu-satu bangsa sahaja. Empayar bertaraf antarabangsa bahkan menjadi pusat pelancongan pula. Seolah-olah majoriti menteri di Malaysia ini dikuasai oleh satu-satu kaum sahaja. Soal monopoli ini seolah-olah kelihatan akan berakhir tidak lama lagi - selepas setengah abad UMNO / BN memegang tampuk pemerintahan.

Mungkin bagi Ismail Sabri yang kini berusia senja, ingin membawa transformasi atas tiket jihad. Jihad dan berkhidmat untuk masyarakat terutamanya kaum Melayu dan Bumiputera. Tidaklah salah memberi hadiah buat bangsa sendiri dan pengundi-pengundi beliau, sebelum menutup mata. Bukannya mengenepikan bangsa lain, tidak sama sekali. Adalah sukar untuk menyekat kemajuan pemain-pemain ekonomi itu yang sememangnya sudah hebat.

Penulis melihat Ismail Sabri cukup komited merealisasikan apa yang beliau ungkapkan. Bukan 'menang hari ini esok harga minyak turun' - skrip rasmi pakatan pembangkang, tetapi  jelas Ismai Sabri mahu berjuang dengan berjihad untuk bangsanya. Lantas tindakan ini menyebabkan tenggelamnya isu mengenai 'hilangnya' Ismai Sabri di Bera. Ini dapat dibuktikan dengan melihat respon balasnya di media sosial - Facebook. Jarang sekali dapat kita lihat seorang wakil rakyat dan menteri yang mampu membalas setiap persoalan atau perkara yang dibangkitkan. Mungkin pembaca mula terfikirkan Facebook Perdana Menteri. Ketepikan dahulu,  lagipun jihad Perdana Menteri sudah jelas tanpa dapat dipertikaikan. Selama Malaysia Merdeka, tahun 2015 melakar sejarah apabila pondok-pondok yang menjalankan pengajian Islam menerima dana berjumlah RM25 juta - di dalam Bajet 2014. Banyak lagi usaha Perdana Menteri Najib Razak ke arah pembelaan kaum Melayu dan Bumiputera dengan tidak mengenepikan kaum-kaum lain.

Sambung mengenai Facebook dan media sosial tadi... Lebih malang, ada segelintir wakil rakyat termasuk daripada UMNO / BN yang tidak ada media sosial! Berprasangka baik, mungkin mereka lebih selesa dengan cara lama - turun padang. Persoalannya, apakah mereka benar-benar turun padang? Atau hanya muncul apabila Perdana Menteri atau Setiausaha Agung UMNO singgah di kawasan masing-masing? YB-YB ini mungkin ada cerita mereka sendiri. Walauapapun, setiap perlakuan mereka menunjukkan samada mereka berminat lagi mempertahankan kerusi yang dimenangi ataupun tidak. Dan ini sedang diperhatikan oleh rakyat a.k.a pengundi.

Bagi penulis, Ismail Sabri mungkin jarang muncul di dalam kawasan. Tetapi beliau mudah didekati melalui media sosial. Paling utama, masyarakat boleh melihat kesibukan YB ini dalam usaha membawa suasana baharu diperingkat nasional. Lantang dan berani membela bangsa sendiri!

Tidak sabar rasanya mahu menjejakkan kaki di bawah payung gergasi ekonomi orang Melayu - satu usaha ke arah keseimbangan ekonomi rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment