AdSense

Tuesday, August 18, 2015

Seruan SPAD kepada lori angkut bauksit


Lori #bauksit, memberi mimpi ngeri kepada penduduk setempat apabila bahan-bahan yang diangkut itu melimpah keluar daripada lori. Tidak hairanlah berlakunya perubahan warna tar jalanraya daripada hitam legam kepada merah menyala.

Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) begitu memandang serius berhubung perkara ini.


Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, kebanyakkan pemandu menggunakan lori yang tidak sesuai untuk tujuan membawa muatan seperti bauksit. Ia sekaligus mengakibatkan bahan mineral berkenaan mudah terkeluar daripada kenderaan mereka.

“Keadaan akan bertambah teruk pada hari hujan dan berisiko mengakibatkan kemalangan. Berdasarkan statistik sepanjang tahun ini, sebanyak 699 buah lori telah diambil tindakan di negeri Pahang atas kesalahan membawa muatan berlebihan dan pelbagai kesalahan melibatkan keselamatan,” katanya.

Langgar undang-undang untuk kaut untung.

#SPAD dalam Ops Hippo yang dijalankan pada 14 Ogos baru-baru ini di sekitar Jalan Kampung Sungai Ular-Gebeng dekat Pelabuhan Kuantan telah berjaya menahan 25 buah lori selepas didapati membawa muatan berlebihan iaitu kira-kira dua kali ganda berbanding had muatan asal.


Dalam operasi yang dianggotai 42 anggota SPAD, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Polis mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan lain termasuk menambah panel pada badan lori, membawa muatan yang tidak dibenarkan dan membawa muatan melebihi paras yang ditetapkan.

Sementara sebanyak 50 kes dikenal pasti membabitkan pelbagai kesalahan melibatkan lori bauksit.

Ada antara pemandu lori yang ditahan melakukan kesalahan berulang iaitu sebanyak dua atau tiga kali namun masih bersikap keras kepala kerana ditawarkan pulangan lumayan hasil aktiviti mengangkut bahan mineral tersebut.

“Mereka sedar bahawa tindakan tersebut  membawa muatan berlebihan adalah salah namun disebabkan sifat tamak terhadap komisen yang ditawarkan majikan, mereka sanggup melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan mereka mengangkut bauksit dengan muatan sehingga 80 tan meskipun had muatan asal lori mereka hanyalah 40 tan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain selain menyebabkan kegagalan sistem brek dan masalah tayar,” tegas Che Hasni.


Beginilah situasi sebenar isu melibatkan lori bauksit. Mereka sanggup melanggar peraturan demi meraih keuntungan. Sikap tidak bertanggungjawab mereka sekaligus mengundang risiko kepada pengguna jalanraya yang lain. Lebih menyedihkan, kawasan-kawasan di sekitar laluan lori ini telah bertukar wajah, merosakkan persekitaran.

Apa yang penulis maklum, bilangan lori mengangkut bauksit ini cukup banyak. Begitu juga dengan bilangan syarikat yang menjalankan operasi ini. Tidak dinafikan bahawa ada syarikat dan pemandu lori yang patuh kepada peraturan yang ditetapkan. Sebab itu pihak syarikat dan pemandu lori yang menjalankan aktiviti berkaitan bahan mineral ini perlu memainkan peranan mereka sebaik mungkin. Janganlah disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.

Mereka sepatutnya mempunyai sikap yang lebih bertanggungjawab terutamanya kepada penduduk setempat dan pengguna jalanraya yang lain. Saman beratus kali pun tidak berguna sekiranya sikap tamak itu tidak diubah.

No comments:

Post a Comment