AdSense

Thursday, July 2, 2015

Pengoperasian semula laluan KTMB : SPAD tekan soal keselamatan



Pengoperasian semula Gemas-Gua Musang dan Kemubu-Krai

Cuti perayaan Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini memaklumkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkaitan pengoperasian semula perkhidmatan keretapi Gemas-Gua Musang, Kemubu-Krai serta pembukaan landasan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas.

Cadangan itu disambut baik SPAD namun dalam masa sama faktor keselamatan penumpang tidak boleh diabaikan sama sekali, apatah lagi perkhidmatan itu akan bermula pada musim perayaan dan sudah pasti dikunjungi oleh ramai pengguna.


Oleh kerana #SPAD cukup menekankan aspek keselamatan, #KTMB pada 25 Mei lalu ada membentangkan cadangan kerja baikpulih landasan Gemas-Gua Musang serta Kemubu-Krai. Ia bagi memastikan landasan itu berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

Dalam masa sama KTMB juga merancang untuk memulakan operasi separa bagi laluan jajaran Pantai Timur - laluan yang terjejas teruk akibat banjir tahun lepas. Laluan itu ketika ini sedang dibaikpulih melibatkan kerja-kerja pelebaran longkang, pengukuhan struktur landasan dan cerun, selipar kayu dan klip landasan yang baharu. - Kerja-kerja ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2017.



Bagi memastikan operasi secara separa ini berjalan dengan baik, SPAD telah mengarahkan KTMB supaya mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepertimana yang termaktub di dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. KTMB juga perlu mengemukakan semula permohonan tersebut setelah kerja-kerja pemulihan dilaksanakan berserta dokumen sokongan dan pengesahan perunding bebas bahawa keadaan landasan telah diperiksa dan selamat untuk pembukaan semula.

Untuk pembukaan semula landasan Pantai Timur, SPAD sedang bekerjasama dengan KTMB bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang terjamin. Antara isu-isu yang dititikberatkan oleh SPAD adalah faktor keselamatan landasan, semboyan, stok kereta, kemudahan-kemudahan di stesen dan keselesaan.


Perkhidmatan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas

KTMB turut mengemukakan cadangan pengoperasian sektor Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas yang telah siap. SPAD dengan itu telah memeriksa landasan tersebut bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan berada dalam keadaan memuaskan. Ia merangkumi keadaan landasan, semboyan, stok kereta, kemudahan-kemudahan di stesen.


Namun yang demikian, SPAD mendapati bahawa set keretapi baharu masih belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Oleh yang demikian, SPAD telah mengesyorkan kepada KTMB agar menggunakan keretapi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang sedia.

Selepas KTMB memenuhi kesemua aspek syarat operasi dan keselamatan, keputusan mengenai pembukaan landasan dan perkhidmatan keretapi di sektor-sektor tersebut akan dimuktamadkan oleh SPAD.

No comments:

Post a Comment