AdSense

Thursday, May 21, 2015

Kerajaan komited bangunkan ekonomi Melayu


Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) menggariskan lima strategi bagi memperkukuh peluang Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB) dalam meningkatkan pemilikan kekayaan, termasuk memperkasa modal insan dan memperluas syer pemilikan kekayaan Bumiputera.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri berkata bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh Bumiputera, usaha yang lebih kreatif dan inovatif akan dilaksanakan.

Untuk strategi pertama bagi memperkasa modal insan Bumiputera, latihan kemahiran tinggi dan program profesional bertauliah seperti Program Peneraju Skil di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, akan diperluas.

“Menjelang 2020, penyertaan Bumiputera dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi disasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus,” kata EPU dalam dokumen rancangan lima tahun itu yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Strategi kedua bagi meningkatkan penguasaan efektif Bumiputera dan mengekalkan pemilikan korporat, strategi pelaburan untuk menambah baik pemilikan ekuiti akan diperluas.

Ini akan juga melalui peningkatan pelupusan aset dan aktiviti bukan teras syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan kepada usahawan Bumiputera, serta memperkenal mekanisme pembiayaan baharu bagi aset kewangan.

Strategi ketiga, memperluas syer pemilikan kekayaan Bumiputera dengan memperkukuh program berasaskan institusi bagi pemilikan aset serta memperkenal mekanisme pembiayaan baharu bagi aset bukan kewangan.

Strategi keempat antara lain akan memperkasa KEB dengan mengurangkan pembiayaan dalam industri bernilai tambah rendah dan tidak strategik, mempergiat program pembiayaan usahawan dan mempertingkat program bersepadu kepada perusahaan Bumiputera.

Strategi terakhir ialah mengukuh keberkesanan penyampaian program berorientasikan Bumiputera dengan mewujudkan pangkalan data bersepadu yang mengandungi maklumat status sosioekonomi Bumiputera dan mempermudah prosedur kerajaan bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan. - MINDA AKTIF 

No comments:

Post a Comment