AdSense

Saturday, March 28, 2015

Pertumbuhan Ekonomi Dalam Industri Maritim


Malaysia perlu memberikan optimum yang lebih tinggi di dalam industri maritim negara. Adalah penting bagi Malaysia menjalinkan kerjasama erat di dalam sektor perkapalan.

Pada tahun 2014 sahaja, industri perkapalan ini menyumbang RM15 bilion kepada ekonomi negara.

"Oleh itu, berdasarkan perspektif global, Malaysia tentunya mendapat manfaat daripada sektor yang berkembang ini," kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan media baru-baru ini.


Dianggarkan 90% dari jumlah dagangan negara diangkut menggunakan kaedah perkapalan. Berdasarkan rupa bentuk Malaysia yang dikelilingi selat dan lautan, tidak hairanlah sektor perkapalan merupakan kaedah pengangkutan utama kepada negara.

Ekonomi negara yang bergantung tinggi kepada sektor pembuatan serta berorientasikan ekspot tentunya sangat bergantung kepada perkapalan untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Dengan satu pelan yang mantap, kerjasama bersama pemain industri termasuk pembuat dasar akan dapat menentukan halatuju dan masa depan negara khususnya di sektor maritim.

Sebelum ini Felo Kanan Institut Maritim Malaysia (MIMA) Nazery Khalid pernah menulis, sektor maritim adalah satu sektor strategik yang sangat penting kepada ekonomi Malaysia.


Banyak sumber asli seperti perikanan dan tenaga hidrokarbon diperolehi dari samudra yang juga menyediakan pengangkutan, rekreasi dan peluang pekerjaan kepada rakyat. Sektor ini menjana pelbagai aktiviti ekonomi merangkumi antara lainnya pembuatan, pembekalan dan perkhidmatan.

Ini tidak menghairankan bila kita mengambilkira yang Malaysia ialah sebuah negara yang dikelilingi lautan dan sebahagian besar penduduknya tinggal di petempatan sepanjang pantai atau tidak jauh dari kawasan pesisir. Negara bertuah ini mempunyai kawasan perairan yang lebih luas dari kawasan daratnya.

Pelabuhan-pelabuhan negara merupakan pintu keluar-masuk utama impot dan ekspotnya. Industri minyak dan gas pesisir negara merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi kita. Pelbagai aktiviti sokongan seperti pembuatan/pembaikpulihan kapal, pengeluaran, pembekalan, pengurusan kapal, pembiayaan, perundangan dan sebagainya menjana pulangan ekonomi dan
menyediakan peluang pekerjaan.

Berdasarkan fakta ini, tidak hairanlah yang sektor maritim diibaratkan sebagai nadi kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tidak dapat dibayangkan betapa pincangnya ekonomi negara tanpa sektor perkapalan dan pelabuhan-pelabuhan yang cekap, berdayasaing dan kompetitif. Ekonomi negara yang banyak bergantung kepada ekspot tentunya tidak dapat berkembang tanpa sokongan dari sektor pengangkutan maritim yang menjadi pemudahcara utama dagangannya.

No comments:

Post a Comment