AdSense

Saturday, May 5, 2012

Pesan Najib...



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat peringkat akar umbi Umno terutama dari ketua bahagian dan cawangan mencari ruang yang boleh dibaiki walaupun secara keseluruhannya parti itu sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata sangat penting kumpulan akar umbi ini bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga, sekali gus mengetepikan sebarang persaingan dan persengketaan sesama anggota buat sementara waktu.

"Kita ini merupakan satu pasukan, satu keluarga yang bukan saja mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua keadaan dan kita mesti melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah parti pembangkang dan bukanlah sesama kita," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Media Umno Online di sini, hari ini.

Katanya anggota Umno perlu menjurus kepada perhatian yang sepenuhnya kepada sebarang dan segala usaha yang boleh dibuat untuk memastikan jentera parti ini padu dan boleh bergerak, lancar serta penuh bersemangat untuk parti dan Barisan Nasional (BN).

Pada masa sekarang, semua jentera Umno di negeri sudah dipersiapkan, kursus sudah diberikan, panduan sudah disediakan dan perjumpaan dengan mereka telah pun dibuat, katanya.

Najib juga mahukan setiap anggota Umno tanpa mengira jawatan yang mereka pegang supaya membantu memenangkan parti dengan menunaikan tanggungjawab mengundi kerana setiap undi itu mempunyai nilai tersendiri.

"Kita ini merupakan parti yang besar, 3.3 juta ahli kita semua sekali. Oleh itu kita mesti meletakkan dalam fikiran dan juga mind set anggota-anggota parti kita ini supaya menumpu kepada sebarang usaha yang boleh dilakukan setiap daripada kita.

"Tidak semestinya kita ini merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di peringkat bahagian tapi kita sebagai ahli biasa sekurang-kurangnya nilai undi kita, sebab ada kalanya ada juga ahli Umno yang tidak mengundi waktu pilihan raya," katanya lagi.

Najib bagaimanapun mengaku bahawa dirinya adalah seorang yang realistik dan bukan mudah untuk mengubah sikap anggota Umno dalam jangkamasa yang pendek.

"Saya rasa bahawa pencapaian atau pun perjalanan ini sudahpun bermula dan ada sedikit sebanyak perubahan tapi kita perlu meneruskan lagi sebab untuk mentrasformasikan Umno adalah satu cabaran yang tentu sekali akan memakan masa," katanya.

Cuma, katanya penghayatan itu sudah pun dilihat kesannya kepada anggota parti yang setiap daripada mereka hari ini bekerja untuk pencapaian manakala program parti sendiri banyak berkisar kepada Gagasan 1Malaysia dan keutamaan rakyat, katanya.

Beliau juga ditanya mengapa Umno mengambil masa yang sangat lama untuk berubah memandangkan usia parti itu sekarang sudah menjangkau 65 tahun.

Perdana Menteri memberitahu, sebenarnya, Umno sudah pun berjaya sejak lama dahulu tetapi pada masa itu perjuangan orang Melayu tertumpu kepada satu-satu perkara itu, Malayan Union dan kemerdekaan dan tiada siapa pun yang mahu mencari kelemahan Umno.

Keadaan, katanya, mula berubah apabila parti memasuki era 70-an apabila nilai parti dicampuradukkan dengan soal kepentingan merebut jawatan dan politik wang mula melanda disebabkan persaingan sesama anggota semakin sengit dan ini ditambah dengan kejayaan Umno membangunkan negara.

"Inilah yang mesti kita hindari bahawa sebagai sebuah parti yang telah lama wujud, terlalu besar nilai dan jasa kita, tapi pengundi hari ini tidak akan melihat kepada kegemilangan dalam sejarah... mereka hendak tahu apa perjuangan Umno pada hari ini dan akan datang," katanya.

"Inilah yang saya nak tekankan supaya setiap pemimpin Umno mesti menghayati dan mencerminkan nilai-nilai kepimpinan yang disenangi oleh rakyat, dengan itu rakyat akan memberi sokongan yang padu kepada Umno dan BN," katanya.

Najib menjelaskan perubahan dalam Umno ini tidak perlu jauh daripada matlamat parti yang asal tetapi dalam konteks hari ini, perkara yang perlu dalam konteks masa kini ialah nilai untuk meletakkan kepentingan parti mengatasi segala kepentingan.

Ini disusulkan dengan nilai kesetiaan pada parti, disiplin, kerja dalam satu pasukan dan sebagainya, merupakan nilai sejati yang telah dibina selama ini, dan perlu dikekalkan, perlu dipertahankan, katanya.

"Dalam konteks hari ini nilai kita yang lama kita kekalkan, nilai yang baru yang meletakkan misalnya menguasai kemahiran dan keilmuan itu terutama sekali dalam konteks masa kini, kemahiran ICT umpamanya, kemahiran dalam menggunakan sosial media umpamanya, kemahiran untuk kita berkomunikasi umpamanya.

"Ini semua merupakan kemahiran yang perlu kita hayati, kita pelajari supaya peranan kita sebagai pemimpin berkesan pada setiap era," katanya.

Perdana Menteri berkata Umno berjaya membawa budayanya semasa era mencapai kemerdekaan, kemudian pengisian kepada kemerdekaan itu dan seterusnya menukar negara ini yang asalnya sebuah negara pertanian menjadi sebuah kompleks perindustrian.

Hari ini Umno sekali lagi perlu memperlihatkan keberkesanan kepimpinannya dalam konteks ledakan dunia maklumat yang giat berlaku sekarang, katanya.

Ketika ditanya punca yang menyebabkan roh dan semangat perjuangan di kalangan anggota Umno pudar, Perdana Menteri menjawab: "Mereka tidak melihat bahawa matlamat perjuangan itu lebih besar, mengatasi segala-gala perhitungan yang lain.

"Jadi kalau ada sifat bahawa saya nak utamakan apa inspirasi saya sebagai individu lebih daripada parti, maka ini yang akan menimbulkan masalah dalam parti kita.

"Saya tak kata kita tak boleh ada cita-cita peribadi, tak boleh ada kepentingan diri tetapi mestilah tidak mengatasi apa yang penting dan lebih utama adalah parti kita, masa depan parti itu sendiri," katanya lagi.

Najib berkata beliau faham bukan mudah pandangan baru beliau untuk diterjemahkan oleh pihak akar umbi kepada rakyat tetapi sebagai pemimpin, beliau sanggup bersabar kerana proses ini akan memakan masa.

Beliau pada masa yang sama bagaimanapun berasa teruja kerana ramai anggota Umno memberi sokongan terhadap Gagasan 1Malaysia, pelaksaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Politik semuanya tidak dibantah.

"Umno menyokong sepenuhnya tetapi untuk diterjemahkan dalam bentuk peranan masing-masing dan untuk menghujahkan bagaimana apa-apa yang kita nak buat dalam bentuk agenda baru untuk negara.

"Itu dapat dilakukan dengan kaedah yang begitu baik sehingga rakyat umumnya yang di luar parti kita dapat menerima bahawa Umno adalah merupakan tonggak kepada negara kita dan Umno adalah merupakan sebuah parti yang benar-benar, satu-satu parti yang boleh membawa negara kita ini ke arah mencapai Wawasan 2020," katanya.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment