Kerajaan Madani telah menganugerahkan kontrak bernilai RM16.54 bilion untuk pajakan 28 helikopter jenis Leonardo AW149 bagi tempoh 15 tahun.
Walaupun dikatakan harga tersebut merangkumi kos penyelenggaraan, overhaul, insurans, latihan, dan alat ganti, banyak persoalan timbul mengenai kewajaran kos ini.
Pada akhir tempoh pajakan 15 tahun, kerajaan juga ada hak untuk membeli terus helikopter jenis AW149 dengan harga RM15 juta sebuah - menjadikan jumlah kos naik ke RM17 bilion.
Mari kita bandingkan harga dan kos penyelenggaraan AW149 dengan pembelian Eurocopter Cougar EC725 dan helikopter lain untuk menilai sama ada perolehan ini berbaloi.
Pada tahun 2010, semasa Najib Razak menjadi Menteri Kewangan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah menyiasat pembelian 12 Eurocopter Cougar EC725 dengan kos RM1.6 bilion setelah ianya dijadikan isu hangat oleh DAP kononnya kerajaan BN telah terlebih bayar.
Ini bermaksud setiap unit EC725 menelan belanja kira-kira RM133 juta.
Baru-baru ini, Boustead Heavy Industries Corp Bhd memperoleh kontrak RM378 juta untuk memberikan sokongan penyelenggaraan selama lima tahun bagi 12 helikopter EC725 ini.
Dengan itu, kos penyelenggaraan tahunan untuk setiap unit adalah sekitar RM6.3 juta.
Jika dibahagikan secara kasar, ini bermaksud kos tahunan untuk setiap unit bawah pajakan 15 tahun bagi AW149 adalah sekitar RM39.3 juta (termasuk penyelenggaraan).
Tambahan pula, kerajaan hanya boleh membeli helikopter secara terus ini pada harga RM15 juta setiap satu selepas tempoh pajakan 15 tahun tamat. Jika dibandingkan, harga pajakan ini kelihatan terlalu tinggi berbanding kos pembelian langsung EC725.
Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan pembelian 4 helikopter Leonardo AW189 oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada harga RM530 juta.
Ini bersamaan RM132.5 juta setiap unit, hampir sama dengan harga EC725.
Jila 28 buah AW189, jumlah harga pembelian terus ialah RM3.71 bilion.
Namun, AW149 yang lebih kecil daripada EC725 dan AW189, menimbulkan persoalan mengapa kos pajakan untuk AW149 jauh lebih tinggi.
Sekiranya harga pembelian terus bagi AW149 adalah sama dengan harga AW189 (yang sebenarnya lebih besar, lebih laju dan lebih jauh jarak perjalanan) dan kos penyelenggaraan adalah sama dengan Eurocopter, maka kos 28 buah AW149 ialah:
Kos belian: 28 X RM132.5 juta =RM3.71 bilion
Kos penyelenggaraan untuk 15 tahun = 28 X RM6.3 juta X 15 tahun = RM2.65 bilion
Jadi jumlah kos bagi 28 buah dengan penyelenggaraan 15 tahun ialah RM6.36 bilion berbanding harga RM17 bilion bagi pajakan 15 tahun itu.
Sekiranya pembelian 12 buah helikopter dengan harga RM1.6 bilion masa Najib boleh dipertikai begitu hebat oleh DAP sehingga disiasat oleh PAC, adakah ianya juga wajar untuk pertikai dan siasat pajakan RM17 bilion terbaru ini?
Lim Sian See
25/12/2024
https://www.facebook.com/share/jvHjMswfUhKX9GRc/
No comments:
Post a Comment