AdSense

Thursday, August 22, 2024

Bos Mastika, wartawan Utusan kongsi perangai pemimpin UMNO

Certot Pitih aku..

Pada satu Perhimpunan Agung Umno sekitar tahun 1995, saya ditugaskan untuk mengambil story daripada ucapan seorang wakil negeri. Saya sudah lupa sama ada membahaskan ucapan Presiden, usul ekonomi atau usul Politik. Tak kisahlah.. tapi wakil negeri ini tokoh  yang sangat popular.


Diringkaskan cerita, keesokannya saya ditugaskan pula untuk mendapatkan ulasan dari tokoh ini berkaitan ucapan pemimpin tertinggi Umno. Saya segera mencari tokoh berkenaan dan terjumpanya sedang duduk berbual sambil minum-minum dengan beberapa orang rakan di tepi dewan.

"Ooo.. awak yang tulis berita ucapan saya, ya? Terima kasih banyak, memang bagus. Terima kasih, saya suka sangat..." kata tokoh ini selepas saya memperkenalkan diri.

Tentulah dia suka sebab dari ucapannya selama 15 minit, saya pecahkan jadi 3 story. Mau tak seronok.

Tapi...

Ketika hendak meminta diri selepas mengambil ulasannya, tokoh ini berkata kepada saya...

"Zulkarnain, nanti awak pergi hotel XYZ, awak nak makan apa, makan. Order saja. Beritau restoran tu, saya bayar. Nak pergi bila-bila masa pun boleh, saya belanja."

Wah...

Segera saya balas, "Ooo.. terima kasih Datuk, terima kasih.." kata saya.

Makan free. Hotel. Bila-bila masa. Kalau anda, macam mana? Seronok kan?

Namun ketika berjalan ke bilik media, perasaan saya bergolak. Tiba-tiba saya berasa marah yang amat sangat. Muka rasa panas.

Kenapa?

Pertama, bagi saya, saya telah melihat satu hipokrasi yang sangat besar. Semalam tokoh itu penuh semangat bercerita tentang kemiskinan orang Melayu seperti dialah pembela, seperti dia pun miskin sangat.

Sedangkan sebenarnya dia kaya raya, hotel sudah macam rumah keduanya. Entah berapa banyak dia dapat projek beralaskan jawatannya di dalam parti.

Bukan tokoh ini saja, malah majoriti kepimpinan Umno pusat, negeri dan bahagian adalah kontraktor, tokoh korporat dan Orang Kaya Baru. Harga kain sampin mereka saja lima kali gaji bulanan kita. Curut yang mereka hisap harganya sebulan gaji kita.

Pertengahan 1990an adalah zaman mewah Umno. Makin tinggi jawatan, makin banyak 'pulangan' yang akan mereka dapat. Sebab itu, hanya orang banyak duit saja yang boleh bertanding jawatan tinggi. Kalau mahu duit, masuk Umno. Peringkat cawangan pun boleh buat duit.

Sebagai wartawan, saya turut menulis berita tentang masalah politik wang dalam Umno. Waktu pemilihan, duit mengalir macam air. Dalam surah Yasin pun diselit duit. Ada juga kisah Six Million Dollar Man. Setiausaha Agung Umno waktu itu, Allahyarham Mohamad Rahmat ketawa masa sebut perkataan itu ketika kami hendak mengambil story post-kabinet darinya di RTM.

Kedua; Saya marah kerana berasa terhina. Ya, mungkin niatnya baik, dia hanya ingin belanja saya makan. Tapi saya berasa seperti dia menganggap wartawan boleh dibeli. Bagi makan, bagi duit, nanti wartawan/media akan buat story yang bagus-bagus untuk kita (ahli politik).

Perlu diingat, waktu itu saya bekerja dengan Utusan. Utusan milik Umno. Umno parti kerajaan. Kalau mahu dapat publisiti, mahu naikkan imej dan pengaruh, kena baik dengan Utusan. Bila sudah terkenal, senanglah waktu pemilihan nanti.

Tokoh ini pula diceritakan ada skandal. Tapi media arus perdana takkan tulis ceritanya. Untunglah dia.
..
..
Beberapa bulan kemudian, saya terjumpa seorang kenalan lama, senior, bekas wartawan dan membuka perniagaan sendiri. Saya ceritakan kisah tadi.

Kata beliau, "Zul, wartawan ni bernilai waktu dia masih bekerja. Bila dia dah tak jadi wartawan macam saya ni, ahli politik pandang pun tak. Jadi, kalau diorang bagi apa-apa, ambik. Jangan tolak. Kalau boleh mintak, mintak. Ada rezeki, dapat. Kalau kau dah tak jadi wartawan, jangan harap ahli politik nak layan kau."

Kembali kepada cerita asal: Peristiwa ini walaupun kecil bagi orang lain, tapi tidak bagi saya. Saya berasa saya telah melihat kepura-puraan. Seperti perkataan perjuangan Melayu itu hanya di mulut saja. Saya berasa maruah diri saya (wartawan/media), dianggap murah, boleh dijadikan alat politik.

Mungkin saya silap, mungkin saya berlebih-lebihan dan prasangka, tapi itu yang saya rasa.

-----

** Pada pilihanraya 1999, saya terserempak dengan seorang petugas Umno untuk membawa dan mengambil pengundi ke pusat pengundian. Pemuda itu sedang duduk di pondok menunggu bas.

Saya tanya pemuda itu, kenapa duduk saja dan tak ambil pengundi. Jawabnya, "Diorang tak bayar lagi, bang. Takkan nak isi minyak pakai duit sendiri."

Waktu itu dalam hati saya berkata, semangat perjuangan Umno sudah rosak. Dulu, pejuang dan pemimpin Umno tidak berduit. Miskin. Mereka keluar duit sendiri. Tapi sekarang, pemimpin umno kaya raya, pakaian mahal, rumah besar, sebahagiannya hasil daripada kedudukan di dalam parti.

Pitih aku, ikut aku lah...

Di bawah, ahli-ahlinya hanya mahu bekerja jika dibayar.

------

Umno telah melalui zaman kemarahan. Salah seorang darinya ialah saya. Marah. Mampukah Umno berubah selepas dihukum dengan kemarahan rakyat? Mampukah pemimpin-pemimpin Umno dan parti-parti lain tidak lagi menjadikan politik sebagai lubuk duit?

Landskap politik negara sedang beranjak memasuki fasa baru. Semoga Umno & semua parti lain juga beranjak menjadi lebih baik.

Ada satu lagi kisah berkaitan cerita di atas yang menyebabkan saya bertambah marah.

Maknanya... cerita ini belum tamat.

ZULKARNAIN ZAKARIA
Mantan wartawan Akhbar Utusan & Pengarang Kanan Majalah, Utusan Karya Sdn. Bhd.


Sumber
https://www.facebook.com/100000337626569/posts/pfbid0YuehLwE25Ey9YyZQ5QXiwkWAEPQDYqb4CgQKxC3hVgCKuW8oaDdGcKwVaqJFRb7Fl/?mibextid=lOuIew

2 comments:

  1. Ketika menjtuhkan Allahyaham Tun Ghafar Baba 991/92, siap yg paling rakus menggunakan wang?

    ReplyDelete
  2. Umno memang kena berubah.

    Kalau tidak. Parti Taliban yang juga rasuah disebalik agama akan berjaya.

    Lagi bahaya dari umno kerana boleh syahid ikut suka.

    ReplyDelete