Friday, April 8, 2022

Hapus tol : Janji yang menghantui PH-DAP


Kerajaan telah mengumumkan bahawa akan meneruskan dasar kawalan kadar tol di empat lebuh raya - Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) - dan tidak akan menaikkan kadar tol sehinggalah tempoh konsesi keempat-empat lebuh raya tersebut berakhir.

Kerajaan mengekalkan kadar tol tersebut sebagai tindakan yang seimbang dan bertepatan bagi mengurangkan beban rakyat, demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat, lebih-lebih lagi kita baru beralih dari fasa pandemik kepada endemik.

Dalam kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), mereka mendakwa pengurangan kadar tol itu adalah kesinambungan usaha PH yang dibuat sewaktu pemerintahannya. Malah, tambah PH, mereka sudah pun merancang untuk memberi diskaun 30 peratus dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya terbabit.

Seperti yang dijangka, PH akan menggunakan isu ini untuk ambil kredit, seolah-olah merekalah yang terbaik. Realitinya, PH telah gagal menunaikan janji mereka kepada rakyat untuk menghapuskan tol.

Misalnya janji menghapuskan tol di Lebuh Raya Utara Selatan. Tetapi malangnya, apabila PH berkuasa, konsesi tol yang sepatutnya berakhir pada 2038 dilanjutkan sehingga tahun 2058 dan rakyat terpaksa meneruskan pembayaran tol. Kalau konsesi sudah tamat tahun 2038, buat apa hendak bayar tol lagi 20 tahun sehingga 2058?

Dalam hal ini, kerajaan tidak bertindak secara emosi seperti PH yang membatalkan semua dasar Barisan Nasional (BN) walaupun ia baik untuk rakyat. Sewaktu pemerintahan PH, banyak sekali inisiatif BN yang dikorbankan hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik. PH dilihat bersungguh-sungguh 'membalas dendam' terhadap BN.

Sehinggakan program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang pernah dilabel sebagai 'dedak', turut menjadi mangsa apabila ia ditukar nama kepada Bantuan Sara Hidup. Begitu juga dengan projek-projek mega atau projek infrarakyat yang ditangguhkan dan dibatalkan PH sehingga kerajaan terpaksa membayar denda atau penalti.

Namun, bagi BN, apa sahaja dasar yang baik, biarpun dasar tersebut dimulakan sewaktu PH, kerajaan tetap memastikan kelangsungan dasar tersebut asalkan ia memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Lau Chin Kok

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA

5 April 2022

No comments:

Post a Comment