AdSense
Wednesday, July 25, 2018
Kerajaan PH tak wajar rombak dasar sewenang-wenangnya
24 JULAI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak wajar untuk sewenang-wenangnya merombak dasar-dasar kerajaan terdahulu, ujar ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Lebih-lebih lagi katanya untuk merombak dasar-dasar yang mengandungi perkara termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagaimana yang kita tahu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dipinda kepada Model Ekonomi Baru (MEB). Jadi saya fikir siapa pun dan parti mana pun yang menjadi kerajaan, kerana ianya merupakan dasar dan tidak seharusnya dasar-dasar yang dipersetujui bersama harus dirombak.
“Kita harus kembali kepada Perlembagaan, perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak seharusnya dirombak sewenang-wenangnya. Kita hendaklah menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya kepada media di lobi Parlimen, Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan PH untuk meneliti semula DEB dan MEB.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan berkata penjajaran semula kedua-dua dasar itu sama ada ia masih relevan atau sebaliknya bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi negara mapan dan berupaya menjamin pengagihan yang adil.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menegaskan institusi Parlimen perlu dihormati dengan kehadiran penuh anggotanya sebagai lambang kesepaduan.
Menegaskan beliau tidak memihak kepada sesiapa, namun katanya kehadiran wakil rakyat di Parlimen khususnya pada sesi perbahasaan harus diberi keutamaan.
“Biar sesibuk mana pun, sesi ini perlu dihormati. Seorang ketua majlis iaitu Perdana Menteri pun mengambil peduli dengan menjawab soalan pertama Ketua Pembangkang.
“Ia bukan hanya perlu diberi sokongan moral tetapi memperlihatkan kesatupaduan. Dalam hal ini saya fikir ketua majlis betul dalam memberikan komen dan perkara itu hendaklah diperbaiki oleh mereka sebelum kami mengambil alih,” katanya.
Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa tidak puas hati dengan kehadiran beberapa menteri dan timbalan menteri pada sidang Dewan Rakyat.
Sumber BNP Portal
https://www.bnpportal.com/kerajaan-ph-tak-wajar-rombak-dasar-sewenang-wenangnya/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment