Siapa akan mewarisi perniagaan anda pada suatu hari nanti?
Sekalipun empayar atau organisasi perniagaan anda begitu kuat dan hebat, pastinya runtuh sekiranya pewaris yang bakal menerajuinya kelak tidak memiliki ilmu tentang perniagaan.
'Mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi'
Paras rupa, tabiat mungkin sesuai pada peribahasa di atas. Tetapi tidak pada ilmu. Seseorang anak tidak semestinya bijak sepertimana bapanya.
Berapa banyak empayar perniagaan yang dijalankan oleh seseorang insan bergelar bapa tidak dapat diteruskan oleh anaknya? Ia akibat daripada kurangnya ilmu, pendedahan, kepakaran, pengalaman dan faktor-faktor lain.
Sayangnya, perniagaan yang sudah / sedang berjaya dibiarkan begitu sahaja. Dibiarkan menjadi lemah dan kemudiannya 'gulung tikar'.
Sebab itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong menegaskan betapa pentingnya pendedahan diberi kepada bakal-bakal pewaris perniagaan.
Pewaris itu perlu memiliki kemahiran dan kefahaman yang cukup bagi memastikan syarikat yang diwarisi mereka kekal stabil serta terus berjaya.
Tambah Ka Siong, generasi kedua dan ketiga yang mewarisi perniagaan itu seharusnya memiliki pengetahuan yang cukup bagi meluaskan empayar mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Disamping itu, mereka (pewaris) juga mestilah memiliki pemikiran kreatif dan inovatif bagi merealisasikan impian tersebut.
Justeru itu, para pewaris yang bakal menerajui perniagaan keluarga perlulah mengisi ilmu yang mantap di dada. Pelajari dan fahami ilmu dalam perniagaan sebaik mungkin seterusnya dapat meneruskan empayar perniagaan dan merancakkan pembangunan ekonomi.
No comments:
Post a Comment