Negara hari ini berdepan dengan ancaman militan yang agak membimbangkan. Selain pelbagai serangan pembunuhan, kumpulan pengganas seperti militan Negara Islam (IS) ini sedang pergiat merekrut golongan muda di laman sosial.
Nampak seolah-olah tidak masuk akal tetapi inilah yang mereka sedang lakukan hari ini. Ia terbukti dengan kemunculan 'pejuang' jihad muda yang melakukan siri-siri pembunuhan mewakili militan IS.
Terbaru, di Tunisia apabila serangan maut yang mengakibatkan kematian 38 nyawa dilakukan oleh anak muda berusia seawal 23 tahun !
Atas sebab itu, Dewan Negara dimaklumkan mengenai hasrat kerajaan untuk menambahbaik modul dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0.
Antara tambahan yang akan dimasukkan dalam modul baharu itu ialah seperti menerapkan elemen keamanan sejagat, kemahiran teknikal dan vokasional. - Bertujuan dijadikan sebagai elemen pencegahan awal terhadap ancaman militan.
Namun yang demikian, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, perkara itu masih dalam peringkat kajian berikutan fenomena militan Negara Islam (IS) yang ketika ini menjadikan media sosial sebagai platform utama.
"Saya bersama anggota keselamatan dan agensi risikan antarabangsa masih meneliti dan menyelami fenomena IS ini dan sehingga kini tidak ada satu formula dapat menanganinya.
"Penularan melalui media sosial membawa kesan amat buruk di mana ia merentasi sempadan sehingga anak muda terpengaruh dan ia membelenggu bukan sahaja kita, malah negara yang jauh lebih maju daripada kita."
No comments:
Post a Comment