AdSense

Tuesday, August 7, 2018

Kereta Nasional 3.0 - Rafizi attack Mahathir


Selepas sah bertanding satu lawan satu dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kembali dengan kritikan terhadap projek kereta nasional 3.0.

Naib Presiden PKR itu menegaskan bahawa idea itu bukan sahaja tidak popular dan diterima secara sinis oleh rakyat terbanyak, tetapi juga bertentangan dengan tawaran Pakatan Harapan.


“Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga,” katanya

Beliau mempersoal sama ada kerajaan sudah mempunyai perancangan khusus berhubung kesediaan melancarkan projek kerajaan nasional itu memandangkan tempoh masa khusus, sebelum 2020, telah diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof, kelmarin.

Redzuan, Sabtu lalu, berkata, kerajaan bersedia melancarkan “projek kereta nasional 3.0” menjelang 2020 seperti dibayangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi juga menegaskan, memandangkan perkara itu berkaitan dasar, ia sewajarnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu, sebelum dilaksanakan kabinet.

Rafizi Ramli menegaskan Pakatan Harapan telah berjanji menghapuskan cukai eksais bagi menurunkan harga kereta, bukan berusaha mewujudkan perusahaan kereta nasional ketiga.


Katanya, sejak Buku Jingga ditulis dalam tahun 2010, komitmen menghapuskan duti eksais kereta, yang dilihat mereka sangat membebankan, tidak pernah berubah.

“Platform dasar yang mahu menghapuskan cukai eksais demi menurunkan harga kereta ini tidak pernah berubah selepas Pakatan Harapan ditubuhkan.

“Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga,” katanya.

Menurut Rafizi, cukai eksais banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta lebih mahal berbanding negara-negara lain.

Beliau justeru membangkitkan sama ada idea untuk menubuhkan perusahaan kereta nasional yang ketiga akan mendatangkan kesan kewangan yang besar kepada rakyat.

Berikut tiga persoalan yang dibangkitkan Rafizi:

Berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam?

Badan kerajaan mana yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek ini?

Adakah kerajaan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta nasional ketiga dilancarkan?

Sumber : BNP Portal
https://www.bnpportal.com/rafizi-kritik-projek-kereta-nasional-3-0-bertentangan-tawaran-ph/

No comments:

Post a Comment