AdSense

Wednesday, February 21, 2018

Cuti Tahun Baru Cina - Pengguna jalanraya nampak lebih bijak


Empat hari lagi iaitu pada 25 Februari 2018 ini, akan berakhirnya kempen selamat jalanraya sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama beberapa agensi.

Manakala Kementerian Pengangkutan (MOT) pula melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula 9 Februari sehingga 23 Februari 2018.


Sepanjang musim cuti perayaan ini, penulis kerap juga menonton berita untuk mengetahui tentang aliran trafik semasa. Dalam pemerhatian penulis, trafik dikebanyakkan laluan berjalan lancar.

Sesak itu biasalah, dah nama pun musim cuti. Masyarakat Cina berhari raya sementara masyarakat lain mengambil peluang menghabiskan masa bersama keluarga. Ada yang melancong ada juga yang pulang ke kampung halaman masing-masing.

Setakat ini, laporan tentang kemalangan yang meragut nyawa juga kelihatan berkurangan. Berikut beberapa kejadian kemalangan yang meragut nyawa dalam tempoh dua minggu ini.

18 Februari 2018

Empat maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 45, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli. Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Audi, Perodua Kenari dan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier itu juga turut menyebabkan dua mangsa cedera parah dan empat lagi cedera ringan.


Dua buah kereta kemalangan di dalam Terowong Menora menyebabkan kesesakan teruk di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala Utara. Kemalangan di Kilometer 261.4 pada kira-kira jam 11.30 itu melibatkan dua buah kereta jenis Proton Saga dan Proton Saga Aeroback. Kejadian ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memuji pengguna jalanraya yang lain apabila memberi laluan khas bagi memudahkan pasukan bantuan di tempat kejadian.

20 Februari 2018

Sebuah lori muatan pasir terbalik di kilometer 7.6 Jambatan Pulau Pinang  dari arah Perai menuju ke bahagian Pulau menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk  di kedua-dua arah. Kemalangan berlaku  sekitar jam 11.15 pagi selepas tayar lori berkenaan pancit menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kanan jalan dan terbalik. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan berkata, akibat kejadian itu, lori pasir  tersebut telah melanggar penghadang jalan lalu terbalik.


Hari ini menjadi hari terakhir bagi Cikgu Itum Likum, 52 tahun apabila dia maut dalam nahas dalam perjalanan ke sekolah sebagaimana rutin hariannya.Kilometer 16 Jalan Papar-Kota Kinabalu jadi titik akhir apabila pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah Toyota Hilux yang terbabas dari arah bertentangan. Insiden berlaku sekitar 6.30 pagi ketika Ituk bersama lima muridnya dalam perjalanan ke sekolah, sementara Toyota Hilux dinaiki suami isteri berusia 50-an.


Dalam tempoh kempen keselamatan jalanraya dipertingkatkan, tersebar satu video memaparkan seorang lelaki menumbuk anggota polis trafik yang berlaku pada 16 Februari 2018 di Kota Belud. Memetik laporan media, lelaki tersebut bertindak demikian akibat salah faham. Dalam kejadian jam 3.15 petang, suspek berusia 19 tahun itu dikatakan tiba-tiba menyerang seorang anggota polis trafik yang sedang melakukan tugas susulan satu kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Honda Wave.  siasatan awal mendapati pengadu yang juga seorang anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud itu dikatakan tiba di lokasi kejadian untuk mengambil gambar kemalangan terbabit sebelum didatangi dua lelaki yang disyaki ahli keluarga mangsa kemalangan berkenaan.

Jika pembaca masih ingat pada 15 Februari lalu SPAD ada menyiarkan kenyataan media mengenai usaha peningkatan rondaan serta aktiviti-aktiviti penguatkuasaan  ketika rakyat Malaysia memulakan perjalanan mereka balik ke kampung bagi musim perayaan Tahun Baru Cina.

Sebagai satu langkah proaktif, SPAD telah melaksanakan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan dan agensi penguatkuasaan lebuh raya selama 17 hari bermula dari 9 sehingga 25 Februari.


Ini termasuk sesi bertemu orang ramai bagi meningkatkan kesedaran di terminal-terminal dan pemeriksaan 24-jam pada 14, 15 dan 18 Februari, semasa pergerakan pengangkutan awam dijangkakan pada tahap tertinggi.

Di antara aktiviti-aktiviti penguatkuasaan terlibat adalah pemeriksaan rekod GPS kenderaan, operasi penyamaran dan rondaan di kawasan berisiko tinggi. Ini diikuti dengan perangkap kelajuan dan pemantauan menerusi CCTV di Pusat Operasi Lebuh Raya, dengan kerjasama PDRM dan pengendali lebuh raya.


Pasukan penguatkuasaan SPAD juga telah memulakan pemeriksaan di kaunter tiket dan dokumen perjalanan di terminal-terminal bas ekspres. Suruhanjaya juga telah mengeluarkan pekeliling bagi memberikan peringatan kepada pengendali bas ekspres di untuk sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain, serta mematuhi Kod Amalan Keselamatan SPAD (ICOP) dan peraturan keselamatan pada setiap masa.


SPAD tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan undang-undang yang maksima terhadap pengendali bas yang didapati cuai di dalam menguruskan operasi yang termasuk aspek-aspek seperti keselamatan, penyelenggaraan kenderaan dan pengurusan pemandu. Bergantung kepada keseriusan kesalahan, lesen syarikat bas terbabit boleh digantung atau dibatalkan.

Bagi memastikan terdapat bas yang mencukupi bagi musim perayaan ini, SPAD juga telah meluluskan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) daripada 108 syarikat bas, untuk menyediakan 313 bas tambahan.


Bagi melindungi para penumpang, mereka dinasihatkan untuk membeli tiket daripada kaunter yang sah, Mesin Penjualan Tiket atau melalui perkhidmatan atas talian. Orang ramai juga boleh memainkan peranan mereka di dalam melaporkan mana-mana salah laku pengendali pengangkutan awam darat kepada SPAD melalui talian 24-jam, 1-800-88-7723, emel kepada aduan@spad.gov.my atau tweet kepada @aduanSPAD. Mereka juga boleh memuat turun aplikasi MeterOn bagi peranti Android dan iOS bagi menjejaki perjalanan dan kelajuan mereka melalui GPS, memeriksa maklumat mengenai pengendali bas ekspres dan menghantar laporan terus kepada SPAD.

Penulis berharap kes-kes kemalangan jalanraya yang meragut nyawa atau mengundang kecedaraan parah dapat dikurangkan kepada angka sifar. Syabas dan tahniah juga buat seluruh pasukan keselamatan dan penguatkuasaan seperti SPAD, PDRM, JPJ, AADK dan semua pihak yang bertungkus lumus berkhidmat bagi menjaga keselamatan jalanraya.

Kewujudan mereka ini bukanlah untuk menyaman semata-mata sebaliknya mahu mendidik serta memastikan aliran trafik berjalan lancar. Seperti kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 25 Januari 2018, "Kita nak selamatkan nyawa, bukan nak kutip kompaun".

Kata Liow yang juga merupakan Presiden MCA itu, kempen Keselamatan Jalan Raya 2018 memfokuskan aspek pemanduan selamat oleh penunggang motosikal bagi mengurangkan kadar kemalangan maut. Langkah ini diambil berikutan statistik kematian membabitkan penunggang motosikal terus merekodkan peningkatan setiap tahun.

Mengikut statistik kemalangan maut 2016, 62 peratus daripada 7,152 kemalangan membabitkan motosikal.


“Kerajaan tidak hanya mahu sekadar mengenakan kompaun bagi kesalahan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran sehingga dituduh mahu mengutip wang rakyat. Matlamat saya nak selamatkan nyawa orang ramai, jadi kita perlu sama-sama wujudkan kesedaran sebab ia tidak babitkan kos."

No comments:

Post a Comment