AdSense

Tuesday, August 1, 2017

Pinda akta - Keadilan dan kebaikan semua pihak dalam industri teksi


Teksi dianak tirikan... Uber, Grab 'disembah' dan menguasai perkhidmatan teksi di Malaysia... Matilah teksi... Demikian antara luahan segelintir pemandu dan pengusaha teksi kalau bercakap tentang e-hailing.


Mereka seboleh-boleh tidak mahu menerima kewujudan Uber, Grab, EzCab dan lain-lain perkhidmatan 'online'. Sudah tentu, kerajaan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dipersalahkan kerana tidak membela mereka.

Sebenarnya tanggapan itu salah. Pihak SPAD sedaya upaya memberikan yang terbaik buat semua pihak. Kita perlu berpijak di bumi nyata. Realitinya Uber, Grab dan lain-lain perkhidmatan e-hailing tidak mampu hidup tanpa permintaan. Adakah SPAD hanya berdiam diri dan membiarkan industri teksi tenggelam dek arus teknologi?

Atas faktor itulah pihak SPAD mengambil inisiatif untuk menggabungkan perkhidmatan e-hailing kepada teksi, seperti yang terkandung dalam butiran pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD2010). Ini membolehkan pemandu teksi menjalankan dua perkhidmatan dalam satu masa - Cara lama (cari penumpang offline) dan e-hailing.

Untuk makluman pembaca, pada 27 Julai 2017 lepas, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan APAD 2010. Ia bertujuan menambahbaik sistem sedia ada secara menyeluruh demi manfaat industri teksi khususnya.

Tengahari tadi di ibupejabat SPAD, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azharuddin Mat Sah menjelaskan kepada pihak media mengenai pindaan akta tersebut. Dalam perkara ini, pihak SPAD diberi kuasa bagi mengawal selia perkhidmatan yang menggunakan aplikasi e-hailing.


Selain itu ia juga membenarkan SPAD untuk menetapkan bentuk dan kandungan di dalam pengurusan atau perjanjian pajak antara pengendali berlesen dengan pemandu mereka.

Berikut penulis perincikan ringkasan butiran sebelum ia (akta) diluluskan untuk diwartakan.

Operator e-hailing
Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Mempunyai model perniagaan yang baik.
Syarikat mesti ada sekurang-kurangnya seorang pengarah warga Malaysia.
Pemandu dan kenderaan perlu berdaftar dengan SPAD.
Perlu ada insurans yang akan melindungi pemandu, penumpang, kenderaan dan pihak ketiga.
Perlu ada aplikasi yang dikhususkan oleh SPAD seperti keupayaan GPS, sistem 'rating' dan butang keselamatan ketika kecemasan (SOS).

Pemandu e-hailing
1. Kad Digital yang akan mengandungi :
- Lesen sah memandu (CDL).
- Kehadiran latihan khidmat pelanggan.
- Melepasi saringan kesihatan di klinik yang diiktiraf kerajaan.
- Tiada rekod jenayah.
- Tidak memiliki saman dan kompoun.
2. Pemandu perlu menghantar kenderaan mereka ke PUSPAKOM setahun sekali selepas 3 tahun kenderaan didaftarkan dengan JPJ.

Industri teksi
Penggunaan tambang yang dinamik.
Kepelbagaian model bagi teksi baharu.
Hantar kenderaan ke PUSPAKOM setahun sekali (sekarang setahun dua kali) selepas 3 tahun kenderaan didaftarkan dengan JPJ.
Piawaian sistem pajak bagi memastikan kebajikan pemandu dilindungi.


Jelas di sini, pemantauan dan pengawasan sama turut dikenakan kepada kedua-dua perkhidmatan (teksi dan e-hailing). Maknanya, kalau teksi perlu diperiksa PUSPAKOM, pemandu Uber atau Grab juga perlu melakukan perkara sama (isu yang sering dipersoal). Ia dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penumpang berada pada tahap paling maksima.

Setiap yang berlaku hari ini bukanlah dibuat secara semberono tanpa perancangan rapi. Sebenarnya ia terkandung di dalam Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diperkenalkan sebelum ini.

Antara fokus utama TITP adalah menggunakan teknologi bagi menambahbaik perkhidmatan sedia ada. Sebab itu aplikasi e-hailing seperti yang digunakan oleh Uber dan Grab dilaksanakan. Ia sememangnya menjadi permintaan pengguna.

Selain itu TITP juga fokus untuk menjana pendapatan pemandu teksi serta mampu berdaya saing dalam cabaran semasa. Untuk itu, sistem pajakan akan diselarikan agar ianya lebih relevan dan tidak menindas mana-mana pihak.

Pemandu teksi juga boleh dikeluarkan daripada konsep pajak ini kepada pemilikan kenderaan sendiri setelah mendapat lesen individu bersama geran bernilai RM5000. Model kenderaan juga akan dipelbagaikan mengikut citarasa pemandu.

Setakat ini di bawah TITP, sebanyak 3,474 permohonan lesen individu diterima. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,722 lesen individu diberikan membabitkan geran tunai berjumlah RM2.155juta (431 penerima).

Inilah antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan menerusi SPAD demi manfaat kepada industri teksi secara menyeluruh.

1 comment:

  1. Uber dan Grabcar tidak dibenarkan mengambil pelanggan di kaunter-kaunter teksi. Boleh pihak SPAD jelaskan dengan lebih lanjut?

    ReplyDelete