AdSense

Friday, January 27, 2017

Ok saja kalau Sabah nak adakan pilihanraya awal


Ada desas-desus mengatakan Sabah akan mengadakan pilihanraya lebih awal sebelum tamat nya tempoh matang Pilihan Raya Umum 2018.


Mengikut pemerhatian politik, Barisan Nasional (BN) sudah memiliki sokongan solid di negeri itu tambahan pula banyak pembangunan sedang dan telah berjaya dilaksanakan baik oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan.

Bagi Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, MCA menyambut baik dan menyokong sekiranya kerajaan negeri Sabah ingin mengadakan pilihan raya lebih awal.

MCA bukan sahaja bersetuju malah berpendapat BN akan beroleh kemenangan besar. Ini bukan cakap kosong tetapi berdasarkan kepada fakta dan keadaan semasa.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan mengatakan hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan sangat utuh termasuk melalui kementeriannya di mana banyak yang sudah dibuktikan kepada rakyat dan akan terus dibuktikan selepas ini.

MCA juga yakin dan percaya bahawa rakyat di Sabah akan terus menyokong BN. Pimpinan kerajaan negeri Sabah juga sudah bekerja keras selama ini demi pembangunan Negeri Di Bawah Bayu itu.

Tambah Tiong Lai, kepercayaan dan keyakinan ini disandarkan hasil pelbagai projek daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negeri di Sabah termasuk melalui Kementerian Pengangkutan yang telah meluluskan peruntukan lebih RM2 bilion untuk pembangunan bersepadu projek pelabuhan Sabah selain projek pembangunan Rangkaian Landasan Kereta Api Sabah dan Sarawak.

Sabah ketika ini memiliki 73 kerusi selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 9 Ogos 2016 meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding 60 sebelum ini.

Pindaan rang undang-undang itu disokong 55 ADUN, termasuk lima wakil rakyat pembangkang dan empat Bebas, manakala tiga wakil pembangkang tidak bersetuju serta seorang berkecuali, selain seorang ADUN iaitu Datuk Yusof Apdal (BN-Lahad Datu) tidak hadir.

Pada 20 November 2016, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan tambahan 13 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dikekalkan - 73 kerusi.

Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan semua bantahan yang diterima dalam prosiding siasatan tempatan kali pertama yang dijalankan mulai 24 hingga 27 Oktober 2016.

Pada pilihan raya lalu, Pakatan Harapan memenangi 12 kerusi, tetapi jumlah itu kini berkurangan.

Kini, BN menguasai 49 kerusi. Parti Warisan menguasai 3, PKR (2), DAP (2), Parti Harapan Rakyat Sabah (1), Parti Cinta Sabah (1), STAR Sabah (1), dan Bebas (1).

Bagi kerusi Parlimen, pembangkang menguasai tiga kerusi pada 2013, tetapi kini hanya tinggal dua disebabkan tindakan wakil rakyatnya melompat parti.

No comments:

Post a Comment