AdSense

Saturday, October 29, 2016

Tren kargo tergelincir : SPAD arah KTMB laksana langkah proaktif


Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memandang serius berhubung insiden kemalangan tren kargo yang tergelincir di KM200.332 dekat dengan Stesen Batu Gajah semalam.

Apatah lagi ketika ini masyarakat terutamanya penganut Hindu sedang sibuk membuat persiapan bagi meraikan Hari Deepavali. Ada diantaranya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam tren elektrik (ETS) untuk pulang ke kampung halaman.


Lantas itu SPAD sudahpun mengarahkan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) supaya segera mengalihkan gerabak keretapi yang tergelincir dan mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik seterusnya membolehkan perkhidmatan ETS dapat beroperasi seperti sedia kala.

Dalam masa sama SPAD turut memberi arahan kepada KTMB agar mempercepatkan kerja baik pulih kerosakan landasan keretapi tersebut.

SPAD akui pihak KTMB telah menyediakan perkhidmatan bas pengantara yang mencukupi bagi tujuan pemindahan penumpang antara stesen Kapar - Ipoh - Kampar. Namun pada musim cuti perayaan ini, segala proses berkenaan perlu dilaksanakan dengan lancar bagi mengelakkan kesesakan dan lain-lain kesulitan.

Selain itu SPAD juga mengarahkan KTMB mengeluarkan laporan siasatan secara terperinci berhubung kejadian terbabit. Antara lain bagi mengenalpasti punca berlakunya kejadian dan tindakan susulan. Dalam masa sama SPAD juga akan menjalankan siasatan mereka.

Pihak KTMB digesa memperbaiki mutu penyelenggaraan serta operasi tren mereka bagi mengurangkan berlakunya kejadian atau insiden yang boleh membebankan para pengguna.

Semalam, ribuan penumpang ETS terkandas di Stesen KTM Ipoh berikutan tren kargo tergelincir yang dilaporkan berlaku pada jam 3.15 pagi.

Sepertimana kenyataan SPAD, penulis juga bersependapat bahawa KTMB sewajarnya memperbaiki mutu penyelenggaraan mereka. Atau mereka juga mungkin perlu menyediakan 'Plan B' dengan lebih baik iaitu berhubung operasi pemindahan penumpang.

Bas yang disediakan bukan sahaja perlu mencukupi tetapi juga bergerak lancar. Kenderaan pelbagai guna (MPV) atau van juga mungkin boleh dijadikan sebagai kenderaan tambahan bagi mempercepatkan proses pemindahan.

Apa jua perancangan di dalam 'Plan B' perlu ditambahbaik agar setiap kali berlakunya insiden seperti ini, tiada lagi kedengaran rungutan para pengguna yang terpaksa menunggu lama. Namun apa yang paling utama ialah mengelakkan berlakunya insiden serupa di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment