Friday, June 24, 2016

Kenapa teksi takut pada pesaing Uber? (BACA SAMPAI HABIS)


Bercakap pasal perkhidmatan teksi dan kereta sapu 'online' - Uber...


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat  (SPAD) akan bertanggungjawab untuk memberikan keadilan dan kesaksamaan di dalam pengoperasian pengangkutan awam dalam negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pihaknya akan memberi maklumbalas terhadap perkhidmatan Uber dengan membenarkannya digunakan oleh orang ramai, namun harus disusuli dengan peraturan.

Suka penulis mengulangi, DISUSULI DENGAN PERATURAN!

“Orang ramai berminat menggunakan perkhidmatan Uber. Jadi kerajaan memberi respon kepada orang ramai dengan membenarkannya.

“SPAD akan membuat peraturan, supaya tidak ada pihak berasa ada peraturan yang berbeza. Namun buat ketika ini, kita tidak boleh menceritakan lagi peraturan yang akan kita perkenalkan,” tambah Syed Hamid.

Beliau juga memberi peringatan kepada pengguna Uber untuk tidak membangkitkan kemarahan orang lain.

 “Siapa mahu naik Uber, naik sahajalah Uber, itu hak masing-masing. Namun janganlah membuat iklan keterlaluan, seolah-olah Uber tidak perlu mengikut undang-undang,” katanya

Begitu juga dengan tindakan para pemandu teksi. Serang pemandu Uber dan pasangan pelancong asing...tindakan sekumpulan pemandu teksi yang didakwa melakukan kegiatan tersebut jelas menjejaskan imej negara. 

Mereka tidak seharusnya bertindak sedemikian kerana negara ini nyata mempunyai undang-undang dalam mengatasi setiap masalah.

Syed Hamid berkata, tindakan mereka yang mengikut 'undang-undang' sendiri itu juga boleh menakutkan pelancong di negara ini.

“Pelancongan adalah antara sumber pendapatan negara yang terbesar. Jadi bila jadi insiden seperti ini yang mengakibatkan pelancong tersebut cedera, perkara ini akan memberi ketakutan kepada orang lain.

“Jangan melakukan sesuatu yang melanggar dengan undang-undang, terutama melibatkan pelancong. Jangan sesekali menjejaskan imej dan nama baik negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran SPAD  di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Bukit Kiara.

Untuk makluman pembaca, terutama sekali buat pemandu teksi di luar sana, usahlah berlagak samseng lagi. Ini zaman sudah berubah. Sama macam Asstro, sudah tak boleh hendak berlagak lagi kerana munculnya persaingan. Kini sudah ada Hyptv, dan tidak lama lagi akan muncul saluran-saluran lain.

Begitu juga dengan syarikat telco suatu ketika dahulu. Celcom cukup popular dikalangan masyarakat desa atas faktor mudah akses. Sementara Maxis terkenal dikalangan penduduk kota.

Semakin hari, persaingan 'merebut kawasan' tidak timbul lagi kerana masing-masing berkongsi pencawang yang sama. Kini mereka bersaing pula dengan menawarkan pakej-pakej murah untuk pelanggannya. Macam-macam lagi tawaran mereka lakukan. Hanya untuk menambat hati pelanggan. Jarang sekali kedengaran mereka bertumbuk sesama sendiri. Malah, ada kiosk mereka berkedudukan secara bersebelahan! Tiada masalah pun....

Sebab itu kalian pemandu teksi dan Uber perlu bersaing dengan mempamerkan imej baik sekaligus menarik minat pelanggan. Apa kau orang fikir dengan bertindak samseng memukul seumpamanya boleh menyelesaikan masalah? Kau orang fikir pelanggan suka dengan perangai samseng tu? Adalah lebih baik memaparkan imej bersih seperti sahabat-sahabat kalian yang lain.

Nampaknya Uber tetap menjadi pilihan masyarakat. Kebanyakkan daripada orang ramai mengakui risiko ketika menggunakan Uber namun mereka sebenarnya tiada pilihan. Perkhidmatan teksi sudah terpalit dengan 'isu turun-temurun' yang tidak nampak sinar perubahan. Asyik hendak tunjuk samseng saja.

Padahal boleh saja berkelakuan baik dan istiqamah seperti 'Pakcik Danau Kota'. BACA DI SINI ataupun 'Penerbangan Teksi' DI SINI

Ada banyak lagi artikel yang pernah penulis siarkan sebelum ini mengenai pemandu teksi yang positif. BACA DI SINI

Jadi, ia berbalik semula kepada diri sendiri. Soalan sama perlu kalian jawab sendiri, kenapa perlu takut pada persaingan?


1 comment:

  1. Buang sikap samseng atas jalan raya..jgn berhenti sesuka hati untuk mengambil dan menurun penumpang..baru orang suka...

    ReplyDelete