AdSense

Monday, May 16, 2016

OKU ini bekerja untuk belanja ibu, ayah


Muhamad Nabil Rosli, seorang remaja berusia awal 20an merupakan insan istimewa. Namun ia bukan penghalang untuk beliau berbakti kepada kedua orang tuanya.


Setiap bulan, gaji Nabil yang bekerja di sebuah restoran McDonald's di Puncak Alam, Selangor akan diperuntukkan untuk membelanja orang tuanya. Selebihnya akan digunakan untuk keperluan dirinya dan menabung untuk kegunaan masa depan.

“Gaji setiap bulan saya akan simpan. Nanti boleh guna bila saya atau mak susah. Setiap bulan saya akan belanja mak dan ayah makan-makan di luar," kata Nabil ketika penulis menemuinya baru-baru ini.

'Cerebral Palsy' yang dihidapi Nabil membuatkan beliau menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi atau bercakap. Namun soal kecerdasan, Nabil tiada beza dengan remaja normal yang lain.

Nabil bersama 'bos', 'abang' dan 'sahabat' nya, Shahrul

Ia diakui sendiri oleh Pengurus McDonald’s Puncak Alam, Mohamad Shahrul.

“Nabil suka bersihkan meja. Nabil dan rakannya akan berlumba-lumba untuk membersihkan meja yang ditinggalkan pelanggan,” ujar Shahrul.

Fizikal luaran Nabil mungkin berbeza daripada rakan-rakan sebayanya. Namun dari sudut lain, jiwa besar yang dimiliki Nabil tidak boleh dinafikan.

Anak kedua daripada tiga orang adik beradik, Nabil cukup menggemari aktiviti sukan. Selepas waktu bekerja, Nabil akan berjoging di sekitar rumahnya atau ke gim. Antara yang disukainya seperti futsal dan olahraga. Jangan tidak tahu, Nabil juga merupakan seorang atlet paralimpik negara!

Nabil mula mewakili Malaysia sejak tahun 2012 dan mula mewakili Kuala Lumpur sejak 2010. Beliau juga pernah ke luar negara bagi mewakili Malaysia dalam sukan yang diceburi dan bulan Julai ini, Nabil akan ke Indonesia untuk perlawanan futsal.

Sementara ketika ditanya mengenai idolanya, Nabil menamakan Lionel Messi dan pasukan bolasepak Johor, JDT. Manakala penyanyi Awie Wings merupakan artis yang disukainya.

Selain Nabil, tiga lagi rakannya yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) turut bekerja di McDonald's Puncak Alam.


Secara keseluruhan, sehingga kini di seluruh negara, McDonald’s Malaysia mempunyai 90 hingga 100 orang kakitangan OKU yang bekerja secara separuh masa atau sepenuh masa. Daripada jumlah itu, 70% daripada mereka bekerja secara separuh masa dan 30% pula bekerja secara sepenuh masa.

McDonald’s Malaysia juga bekerjasama dengan beberapa organisasi lain untuk memberi peluang pekerjaan kepada OKU, antaranya, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) – Selangor dan Kuala Lumpur di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Malaysian Care Training Centre, Cheras, United Voice, Petaling Jaya, Persatuan Kanak-kanak Istimewa Kajang (PKIK), PERKESO menerusi program Return to Work (RTW) dan Job Coach Network Malaysia.

No comments:

Post a Comment