AdSense

Friday, April 1, 2016

Selamat bertugas buat CEO baharu FGV


Bermula hari ini 1 April 2016, Datuk Zakaria Arshad, 56, akan memulakan khidmatnya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menggantikan Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah.

Sejak tahun 1984, Zakaria sudah berkhidmat bersama Kumpulan Felda menerusi beberapa anak syarikat seperti Felda Rubber Industries Sdn Bhd, Malaysia Cocoa Manufacturing Sdn Bhd, Felda Rubber Product Sdn Bhd dan Felda Marketing Service Sdn Bhd.


Berpengalaman selama lebih 32 tahun bersama Felda, Zakaria pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Product Sdn Bhd dan seterusnya menjadi Ketua Kluster Huluan Sawit pada Januari 2014.

Anak jati peneroka Felda Palong 1, Negeri Sembilan ini juga memiliki Ijazah Sains Sosial (Ekonomi) Universiti Sains Malaysia (USM) bahkan telah menghadiri kursus perniagaan eksekutif di Fakulti Perniagaan Harvard dan Kolej Pembroke, Universiti Cambridge.


Sementara itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menyifatkan perlantikan Zakaria sebagai CEO baharu FGV berupaya memperkukuhkan lagi kedudukan organisasi itu selaku pemain agro bisnes mapan dunia.

FGV yang memiliki seramai 19,000 orang kakitangan di dalam dan luar negara itu menyasarkan untuk disenaraikan antara 10 syarikat agro bisnes terbaik dunia.

Suara Lensa juga ingin mengucapkan tahniah di atas perlantikan dan selamat bertugas kepada Datuk Zakaria Arshad. Semoga perjalanan FGV dalam menerajui perniagaan di peringkat global mencapai sasaran. Tidak lupa juga ucapan penghargaan dan terima kasih buat Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah di atas kejayaan dan perkhidmatan beliau selama 3 tahun mengepalai FGV.

Terima kasih atas khidmat yang diberikan selama ini.


No comments:

Post a Comment