Friday, April 1, 2016

Protes : Pemandu teksi terlebih emosi, gagal muhasabah diri


Sesudah Subuh, seorang warga emas berusia lingkungan 50 tahun lengkap dengan kopiah putihnya akan terpacul di hadapan tempat menunggu teksi di Danau Kota - berdekatan dengan tapak Bazar Larut Malam Danau Kota (UpTown).


Si tua yang memiliki tubuh bersaiz kecil ini menjadikan teksi sebagai sumber pendapatannya sedari usia muda. Mengikut pemerhatian penulis, pemandu teksi ini sering melemparkan senyuman dan menyapa orang-orang di sekelilingnya.

Paling menarik tentang si tua ini ialah, keadaan teksinya sentiasa berkilat (tanpa pergi ke pusat cuci kereta / Car Wash) manakala dalamnya sentiasa berbau harum.

Gambar sekadar hiasan
Walaupun menjadikan teksi sebagai kerjaya tetap sedari usia muda, si tua ini mampu menyara keluarganya di bawah bumbung rumah teres dua tingkat di atas tanah Kuala Lumpur - tanpa sekali mengharap belas ihsan orang lain.

Jika pembaca tidak mempercayai kisah ini, pergilah sendiri mencari beliau di tempat yang dinyatakan di atas. Pastikan anda berada di situ pada awal pagi kerana jika terlewat, beliau pasti sedang berada atas jalanraya membawa penumpang.

Hendak mencari 'kekuatan' seorang pemandu teksi seperti kisah di atas ketika ini adalah begitu sukar. Tidak semua tetapi rata-rata pemandu teksi ini terlebih emosi dan suka menyalahkan orang lain ketika berdepan dengan cabaran di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur.


Hampir kesemua pemandu teksi yang terlibat di dalam protes di Jalan Bukit Bintang baru-baru ini mendakwa Uber dan Grabcar sebagai penama utama yang menjejaskan periuk nasi mereka.

Dakwaan itu kemudiannya ditambah dengan adegan menuding jari apabila mengatakan pihak yang bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak melakukan apa-apa tindakan bagi membanteras kegiatan Uber dan Grabcar.

Gambar sekadar hiasan

Barangkali segelintir pemandu teksi ini sibuk dengan bermain dam haji / catur dan menghirup segelas kopi berjam-jam lamanya sehingga tidak sempat membaca laporan-laporan yang sudah didedahkan SPAD terhadap usaha menangani isu membabitkan Uber dan Grabcar.

Sekali lagi Suara Lensa mengulang siar, sebanyak 470 kes direkodkan dari tahun 2011. Bagi tahun ini sahaja (2015), sebanyak 240 kes dibuka. Sementara 144 kes daripadanya melibatkan beberapa aplikasi. Ia termasuklah aplikasi :

GRABCAR - 97 kes
UBER - 43 kes
Easy Taxi - 3 kes
Blacklane - 1 kes

Baca laporan lengkap di sini

Sebab itu sedari awal penulis mengatakan bahawa pemandu-pemandu teksi yang melancarkan protes di ibukota baru-baru ini hanya mengikut emosi dan gagal muhasabah diri sendiri.

Selain bermain dam haji, catur dan membuang masa, banyak lagi faktor yang sebenarnya menjejaskan periuk nasi mereka. Bukan dengan menyalahkan orang lain sebaliknya muhasabah diri.


Perbetul apa yang kurang. Perhatikan apa yang membuatkan orang ramai memilih Uber atau Grabcar berbanding teksi. Hendak membeli pewangi kenderaan pun kedekut, belum lagi menyentuh tentang tahap layanan yang diberikan kepada penumpang!

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baharu sahaja menulis di laman blognya yang menegaskan bahawa kerajaan sememangnya tidak meminggirkan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat termasuk pemandu-pemandu teksi.

Apa yang jelas kata Najib, satu penyelesaian dan dasar yang adil dan saksama kepada semua pihak akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Sepertimana yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti cadangan-cadangan bagi menangani dua isu pokok di sini iaitu pertamanya pendapatan dan kebajikan pemandu teksi dan keduanya isu kereta sewa seperti Uber dan Grabcar yang menggunakan aplikasi telefon pintar.

"Terdapat pelbagai faktor yang Kerajaan perlu pertimbangkan dan mengimbangi dalam hal ini seperti elemen inovasi, persaingan dan sebagainya."

Demikian kata Najib yang tanpa gagal cuba mendalami permasalah rakyat secara dekat.

Oleh yang demikian, tindakan-tindakan seperti turun ke jalanraya bukan sahaja menyusahkan orang lain tetapi juga merupakan usaha yang sia-sia. Bersabarlah, pihak kerajaan bukannya berpeluk tubuh di dalam isu seperti ini.

Dalam masa sama pemandu teksi juga perlu mencerminkan diri sendiri. Kenapa pengguna lebih sukakan lain-lain perkhidmatan berbanding kalian.

Dan kenapa rakan-rakan yang sama kerjaya seperti si tua dalam kisah di atas mampu mengukir senyuman dengan pendapatan yang lumayan hasil daripada memandu teksi tanpa menggunakan taktik kotor seperti tidak menggunakan meter dan seumpamanya.

No comments:

Post a Comment