AdSense

Thursday, April 14, 2016

#HalalGlobal : China lahir minat, SAME sedia 'pimpin tangan' para usahawan

Dari kiri; CEO SAME Neil Foo Seck Chyn, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong dan CEO HDC Datuk Seri Jamil Bidin.

Malaysia sememangnya terkenal dengan hub halal antara yang terbesar di dunia. Pasaran halal diperingkat global ini semakin menarik minat para pelabur serantau.



Sebab itu program-program seperti Minggu Halal MIHAS 2016 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre pada 30 Mac - 2 April baru-baru ini bukan lagi penganjuran asing.

Malah, Majlis Perundingan Islam (MPI) yang merangkumi 7 kluster termasuk ekonomi, sosial, politik dan perundangan turut menjadikan halal global sebagai tajuk utama yang dibangkitkan.

Di samping itu, pengiktirafan status halal daripada pihak penguasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dimata negara luar misalnya merupakan sesuatu yang patut dibanggakan.


Sebagai contoh, China yang dihuni 26 juta penduduk Islam dan menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia juga tertarik dengan imej hab halal yang diperkenalkan Malaysia.

Semasa Program Halal Global Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia (SAME) semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong memberitahu bahawa China melahirkan minat serius mereka terhadap pasaran halal.

“Malaysia adalah satu satunya negara yang memiliki pensijilan halal yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui JAKIM dan dihormati serta dikenali secara global. Peniaga dari China mahu memasuki pasaran di Timur Tengah dan Indonesia tetapi menghadapi masalah kekurangan pensijilan halal," ujar beliau.


Program yang turut disertai delegasi dari Bank China (BOC), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) berjalan dengan jayanya apabila hampir 1,000 peserta mengambil bahagian.

Wee yang juga merupakan Timbalan Presiden MCA turut berbesar hati untuk menghulurkan tangan memimpin para usahawan berhubung pengembangan perniagaan Malaysia - China.

"SAME sentiasa terbuka dalam melayani dan membantu para usahawan dan pelabur ini, baik dalam mahupun pelabur luar. Jika ada masalah bahasa dan komunikasi, kami mempunyai kakitangan yang sedia membantu serta merujuk mereka kepada badan dan agensi yang berkaitan."

Untuk makluman pembaca, SAME diwujudkan bagi tujuan menjana pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selaras dengan Pelan Induk PKS (SME Masterplan) 2012 - 2020.

Bertemakan "Menuju Persada Dunia", SAME berusaha membantu PKS berkembang secara global dan mencapai tahap sedia eksport menerusi model perniagaan yang mantap, manfaat pasaran modal antarabangsa yang luas dan strategi penggabungan dan perolehan terbaik.

No comments:

Post a Comment