Dengan kalimah Allah sambil mengadap kiblat dan tidak menyembelih ayam yang sudah mati adalah antara garis panduan utama di kilang pembekal McDonald's Malaysia, Dindings Poultry Processing Sdn Bhd (DPP).
Demikian maklumat awal dan pengalaman penulis ketika bersama-sama menyertai lawatan ke kilang pemprosesan terbabit pada 6 April baru-baru ini. Baca di sini untuk artikel berkaitan lawatan tersebut yang dikarang penulis secara umum.
DPP yang juga merupakan kilang pembekal bahan mentah kepada restoran popular McDonald's Malaysia sejak tahun 2012 itu memiliki jabatan tertentu bagi memastikan keberkesanan dan pelaksanaan sistem halal dipraktikkan dengan sempurna.
Segala proses penyembelihan termasuk meneliti setiap ayam sama ada disembelih dengan sempurna atau sebaliknya menjadi tanggungjawab dan peranan yang dimainkan oleh jabatan tersebut.
Untuk makluman pembaca, terdapat 15 orang menduduki kerusi Jawatankuasa Halal di DPP yang diketuai oleh Dato' Dr. Kardin Syukor selaku Pengerusi. 'Menjadi pilihan dalam senarai teratas sebagai pengeluar dan pengedar makanan halal' merupakan visi jawatankuasa tersebut.
Tugas mereka di DPP antara lain adalah memastikan polisi halal dipraktikkan di seluruh jabatan setiap masa. Disamping itu para pekerja termasuk pihak pengurusan kilang akan dijelaskan secara terperinci tentang konsep halal mengikut Islam sekiranya timbul kekeliruan.
Ayam di sini (DPP) disembelih mengikut syariah Islam dan bersandarkan kepada garis panduan MS 1500 : 2009 - Makanan Halal. Ia sekaligus menjadikan DPP sebagai syarikat yang mematuhi keperluan yang ditetapkan dalam standard untuk pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan halal serta disahkan melalui pemeriksaan tapak oleh pihak berkuasa kompeten.
Sememangnya Islam menitik-beratkan soal penyembelihan haiwan sepertimana yang terkandung di dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah : 3, berkaitan hidangan yang bermaksud :
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.”
Haiwan yang hendak disembelih itu juga mestilah diperlakukan dengan penuh rasa hormat (tidak diseksa) serta meminimakan rasa sakit haiwan tersebut seperti menggunakan pisau yang tajam.
Selain itu tahap persediaan fizikal dan mental para penyembelih tidak boleh dipandang ringan. Beberapa buah kilang sebelum ini telah diarah tutup oleh pihak berkuasa berikutan kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan untuk aktiviti penyembelihan terutamanya melibatkan tahap keupayaan penyembelih.
Sebagaimana yang ditulis sebelum ini, DPP memiliki seramai 18 orang penyembelih. Ketika ditanya samada jumlah itu mencukupi atau sebaliknya, Pengarah Hal Ehwal Pembangunan Perniagaan & Korporat Malayan Flour Mills Berhad (MFM) Azhari Arshad memberitahu bahawa jumlah tersebut adalah memadai setakat ini.
Jelasnya, tenaga kerja 18 orang penyembelih setakat ini memadai bagi pengeluaran 80,000 hingga 85,000 ekor ayam setiap hari. Bagaimanapun jumlah penyembelih akan ditambah setelah pengeluaran bahan mentah itu meningkat dalam perancangan syarikat di masa hadapan.
Dalam masa sama, slogan yang diterapkan iaitu 'Halalan Toyyiban Teras kepada Pembangunan Ummah' membuktikan bahawa DPP bukan sahaja mementingkan soal halal tetapi kebersihan serta pengeluaran produk berkualiti dan selamat turut menjadi keutamaan mereka.
Maka itu tidak hairanlah kilang yang sudahpun melepasi usia 30 tahun (sejak tahun 1985) ini diiktiraf sebagai kilang yang berkualiti dan patuh syariah.
Selain diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), DPP yang juga merupakan syarikat dibawah kumpulan Malayan Flour Mills Berhad turut diiktiraf mengikut piawaian antaranya daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), ISO 9001:2008 (Sistem Pengurusan Kualiti), ISO 22000:2005 (Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan) dan Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practices - GMP).
Menyentuh tentang penglibatan badan penguasa agama, penulis dimaklumkan bahawa JAKIM menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) akan mengadakan pemantauan secara mengejut ke kilang DPP.
Operasi tanpa notis ini pada biasanya diadakan 3 kali sebulan bagi tujuan memastikan garis panduan yang ditetapkan dipatuhi setiap masa. Malah, pernah berlaku dimana pegawai JAKIM /JAIPk sudah 'terpacak' di perkarangan kilang seawal jam 5 pagi!
Sampai begitu sekali terpeliharanya setiap hidangan yang sampai ke mulut pelanggan restoran McDonald's. Halalan toyyiban dan diiktiraf oleh badan-badan penguasa menjadi keutamaan McDonald's dalam memilih pembekal bahan mentahnya. Sebab itu DPP menjadi pilihan pembekal McDonald's Malaysia pada hari ini.
Untuk penulisan yang akan datang, penulis akan mengeluarkan artikel tentang bagaimana pihak pembekal menyekat serta menangani isu-isu seperti wabak penyakit, permasalahan semasa dan seumpamanya.
Info ringkas yang perlu anda tahu :
HACCP
Merupakan sistem pengurusan berkaitan keselamatan makanan melalui analisis dan kawalan biologi, kimia, dan bahaya fizikal daripada pengeluaran bahan mentah; pemerolehan dan pengendalian; pembuatan; pengedaran dan penggunaan produk siap. Erti kata lain, mana-mana syarikat yang memiliki pengiktirafan HCCP ini dijamin selamat digunakan dari sudut kesihatan.
ISO 9001:2008 - Sistem Pengurusan Kualiti
Merujuk pada Jabatan Standard Malaysia (JSM) dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pengesahan berdasarkan standard adalah menerusi pendekatan yang sistematik untuk menerapkan kualiti dengan memastikan produk keluaran memenuhi keperluan pelanggan. Bukan sahaja mematuhi standard produk, tetapi organisasi tersebut mempunyai satu sistem yang konsisten untuk menghasilkan produk yang memenuhi keperluan pelanggan.
ISO 22000:2005 - Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan
Baik operator pengeluar makanan, pengangkutan dan penyimpanan, peruncit makanan atau perkhidmatan makanan outlet, perlu menunjukkan keupayaan organisasi mereka bagi mengekalkan standard keselamatan makanan yang ketat. Dengan pensijilan ISO 22000, organisasi tersebut boleh menunjukkan keupayaan untuk mewujudkan perancangan keselamatan makanan dengan mengenal pasti, menilai dan mengawal bahaya keselamatan makanan. Oleh kerana elemen yang sama, ISO 22000 boleh digabungkan atau bersepadu dengan ISO 9001 dan diaudit secara bersama-sama.
GMP
Amalan Pengilangan Baik (GMP) adalah satu program pra-syarat (PRP) untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan. Ia menggariskan kebersihan dan pemprosesan keperluan minimum yang terpakai kepada semua aktiviti pemprosesan makanan. Dalam masa sama ia dijadikan sebagai asas ke arah mencapai sistem pengurusan keselamatan makanan yang lebih tinggi seperti HACCP dan ISO 22000. Ia sekaligus memastikan proses pembuatan makanan mematuhi piawaian berkaitan keselamatan makanan seterusnya menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.
No comments:
Post a Comment