AdSense

Tuesday, March 15, 2016

Mesyuarat dua hala Malaysia - Republik Costa Rica

Gambar ketika lawatan kerja Anifah Aman bersama delegasi Malaysia ke Republik Costa Rica pada 20-21 Ogos 2015 yang lalu.


MESYUARAT DUA HALA DI ANTARA Y.B. DATO' SRI ANIFAH HJ. AMAN, MENTERI LUAR NEGERI DAN TYT MANUEL A. GONZÁLEZ SANZ, MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK COSTA RICA


PUTRAJAYA, 15 MAC 2016

Y.B. Dato' Sri Anifah Hj. Aman, Menteri Luar Negeri, telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan TYT Manuel A. González Sanz, Menteri Luar Negeri Republik Costa Rica, pada 15 Mac 2016 di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. Mesyuarat tersebut diikuti dengan majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Y.B. Menteri Luar Negeri bagi meraikan rakan sejawatnya dan delegasi Costa Rica.

Semasa mesyuarat dua hala tersebut, Y.B. Menteri Luar Negeri telah mengalu-alukan lawatan TYT González ke Kementerian Luar Negeri dan menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Costa Rica dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan, pendidikan, pelancongan serta meneroka bidang kerjasama baru pada masa akan datang.

Y.B. Menteri Luar Negeri turut menjemput Costa Rica untuk menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN dengan tertubuhnya Komuniti ASEAN.
Kedua-dua Menteri juga bersetuju untuk meneruskan perbincangan berkenaan cadangan penubuhan mekanisme rundingan dua hala di antara Kementerian Luar Negeri kedua-dua buah negara dan mengadakan rundingan mengenai pemeteraian perjanjian berkenaan kerjasama ekonomi, sains, teknikal dan budaya yang akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan hubungan dua hala ke peringkat yang lebih tinggi.

Kedua-dua Menteri turut mengambil peluang untuk membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bagi Malaysia dan Costa Rica, serta menggariskan jalinan persahabatan dan kerjasama yang kukuh di peringkat antarabangsa.

TYT González sedang dalam rangka lawatan kerja ke Malaysia selama empat hari bermula 12 hingga 15 Mac 2016. Dalam rangka lawatan kerja tersebut, TYT González turut mengadakan pertemuan dengan Y.B. Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Beliau turut menyampaikan ucaptama pada Siri Syarahan Global di Universiti Kebangsaan Malaysia dan melawat Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.

KEMENTERIAN LUAR NEGERI
15 MAC 2016

No comments:

Post a Comment