AdSense

Friday, March 4, 2016

Komplot Guling PM : Ini kenyataan UMNO Pulau Pinang



Kenyataan Media
YBhg Datuk Seri Zainal Abidin Bin Osman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang

Jumaat, 4 Mac 2016

Respons kepada Sidang Media oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamed - Deklarasi Rakyat (Singkir Najib)

UMNO Pulau Pinang amat dukacita dan kecewa dengan tindakan Tun Dr Mahathir yang sanggup bersama-sama dengan pimpinan parti pembangkang dan NGO anti-Kerajaan membuat deklarasi bagi memulakan usaha menyingkirkan YAB Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak secara tidak demokratik.

Sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan dan Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokratik adalah tidak wajar sama sekali dan perlu ditentang habis-habisan oleh pendokong perjuangan UMNO dan Barisan Nasional. 

Kerajaan Malaysia dipilih setiap lima tahun sekali melalui proses Pilihanraya yang demokratik dan bebas. Manakala Perdana Menteri pula dilantik mewakili parti yang menang dalam Pilihanraya dan mendapat sokongan majoriti di Parlimen.  

Kedaulatan Undang-Undang dan amalan demokrasi yang menjadi teras berkerajaan di Malaysia perlu dihormati oleh semua pihak, dalam dan luar negara.

UMNO Pulau Pinang turut mengecam tindakan Tan Sri Muhyiddin dan Dato' Seri Mukhriz yang turut hadir pada sidang Media yang sama. Kehadiran mereka boleh ditafsirkan sebagai mencabar pimpinan tertinggi UMNO untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mereka.

Mereka tidak sepatutnya menyokong sebarang perancangan, gerakan, usaha atau deklarasi oleh mana-mana pihak untuk menyingkirkan Perdana Menteri yang dilantik secara demoratik.

Tindakan YABhg Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato' Seri Mukhriz Mahathir dan lain-lain bekas pemimpin UMNO yang sanggup bersekongkol dan duduk semeja dengan Lim Kit Siang dan pimpinan DAP untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri Melayu amat dikesali dan tidak mungkin dapat diterima oleh mana-mana ahli UMNO yang berfikiran waras.

■ Tradisi Menyokong Institusi Presiden Dalam UMNO

Semua ahli UMNO perlu mempertahankan institusi Presiden dan pemimpin negara, tidak kira siapa yang duduk di kerusi Presiden dan Perdana Menteri. 

Sepanjang Tun Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, itu jugalah yang dilakukan oleh ahli-ahli UMNO; mempertahankan institusi Presiden dan Perdana Menteri dari segala bentuk serangan luar dan dalam.

Pada masa ini, Presiden UMNO dan Perdana Menteri diserang dari luar dan dalam negara. Maka menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli-ahli UMNO untuk mempertahankan Presiden dan Perdana Menteri.

UMNO Pulau Pinang akan terus memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bagi kepada YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. 

UMNO Pulau Pinang akan tetap setia bersama dengan Presiden UMNO dan Perdana Menteri untuk melawan musuh-musuh UMNO dan Barisan Nasional terutamanya DAP dan sekutu-sekutunya.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment