AdSense

Wednesday, February 3, 2016

Bergaduh dalam bas ekspres - SPAD kesal, tindakan tegas bakal dikenakan


Sebuah klip video membabitkan pergaduhan antara pemandu bas dan penumpang dengan durasi 1:02 mula hangat dibincangkan oleh pengguna laman sosial sejak hujung Januari lalu.

Rata-rata komen daripada orang ramai mengutuk keras insiden biadap tersebut. Disamping itu, orang ramai turut mempersoalkan latarbelakang pemandu berkenaan yang tidak ubah seperti seorang samseng.


Dalam kejadian yang berlaku pada 25 Januari bagi perjalanan ekspres Melaka menuju Pulau Pinang itu, seorang lelaki yang didakwa sebagai pemandu bas dilihat sedang memukul salah seorang penumpang hanya disebabkan 'tempat tidur'.

Kejadian itu dirakam oleh penumpang lain dan dimuatnaik di laman YouTube tiga hari kemudian. Sehingga hari ini, lebih daripada 21,000 pelawat telah menonton video tersebut.

“Jangan campur ah, lu orang jangan ganggu saya ah… Tak puas hati cakap sama saya ah, itu saya punya tempat tidur tau… Saya hantam betul-betul lu tau ah? Tada otak ka tempat tidur saya mau masuk?”

Demikian antara kata-kata biadap pemandu bas ekspres tersebut sambil memukul penumpang tanpa belas kasihan.


Mengetahui perkara itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan pantas menghubungi penumpang malang terbabit dan merekodkan kenyataan daripadanya.

Dalam masa sama pihak SPAD juga menasihati penumpang tersebut agar membuat perkara sama dengan melaporkan kepada pihak polis seterusnya tindakan susulan dapat diambil.

Untuk makluman pembaca, penumpang tersebut telahpun membuat laporan polis pada 28 Januari 2016 di Balai Polis Melaka Tengah.

Tidak cukup dengan itu, SPAD juga telah mengarahkan pengendali bas ekspres berkenaan supaya menghadiri temuduga siasatan pada 1 Februari 2016 bagi menjelaskan fakta-fakta dan mengumpul maklumat tambahan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

SPAD dalam kenyataannya baru-baru ini menggesa orang ramai yang pernah mengalami pengalaman sama atau apa jua insiden membabitkan kelakuan pemandu / pengendali bas ekspres supaya segera melaporkan kepada SPAD menerusi aduan@spad.gov.my atau hubungi hotline ADUAN di 1-800-88-7723.


Semalam, Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya cukup kesal dengan kejadian seumpama itu. Sambil memandang serius, pihak

SPAD katanya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas termasuk menamatkan lesen pemandu tersebut.

Bagi Suara Lensa, tindakan yang cukup tegas memang wajar dikenakan terhadap pemandu dan juga pihak pengendali syarikat bas ekspres terlibat sekiranya mereka benar-benar bersalah selepas laporan penuh siasatan dibentangkan.

Setidak-tidaknya gantung perkhidmatan pengendali bas berkenaan buat sementara waktu. Masa terluang itu diisi dengan program-program etika sebagai seorang pemandu yang berkhemah.

Ajar pemandu mereka supaya menjadi seorang pemandu, bukannya samseng apatah lagi haiwan buas!

1 comment:

  1. Bagi kursus juga kat pemandu kerajaan. Ada yang berlagak.

    ReplyDelete