AdSense

Wednesday, January 6, 2016

Singapura NAFI laporan The Edge berkaitan HSR


"Semak kesahihan sesuatu berita yang sampai kepada kamu"

Umat manusia terutama sekali penganut beragama Islam pastinya mengetahui atau sedar akan kata-kata peringatan di atas.

Apatah lagi jika berita yang disampaikan itu datangnya daripada pihak yang mempunyai rekod tidak baik sebelum ini.


Apa yang disiarkan oleh agensi berita seperti The Edge Financial Daily baru-baru ini berhubungkait dengan jajaran laluan rantaian kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura mendapat kenyataan balas daripada pihak berwajib.


Pihak Kementerian Pengangkutan (MoT) Singapura dalam satu kenyataannya menafikan laporan The Edge yang mendakwa projek HSR tersebut telah selesai dibincangkan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Kenapa The Edge melaporkan 'berita' sedemikian? Apa tujuan mereka (The Edge) mendahului pihak yang sepatutnya mengesahkan sesuatu perkara?

Tegas MoT Singapura, jajaran HSR sepanjang 300 kilometer itu akan dimuktamadkan selepas kajian terperinci terhadap aspek kejuruteraan selesai.

Untuk makluman pembaca, sejurus selesai proses Permohonan Maklumat (RFI) pada Disember 2015 lepas, kedua-dua negara Malaysia-Singapura kini sedang mengkajinya dengan lebih terperinci. Bahkan mereka akan memberi fokus terhadap penambahbaikan model komersial termasuk operasi projek dan pendekatan pemerolehan.


Dalam perkembangan sama, MoT Singapura turut mengatakan bahawa kebarangkalian kedua-dua negara akan melaksanakan dua perkhidmatan berbeza dalam rangkaian HSR Singapura-KL tersebut.

Dua cadangan tersebut ialah perkhidmatan ekspres tanpa henti KL-Singapura dan perkhidmatan transit yang akan singgah dibeberapa lokasi stesen. Cadangan ini dilihat positif apabila berupaya memenuhi keperluan domestik kedua-dua negara khususnya Malaysia. Antara lokasi yang sedang dalam perhatian untuk dijadikan transit adalah Bandar Malaysia, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya.

Di sini timbulnya berita tidak tepat daripada The Edge apabila mengatakan bahawa dua perkhidmatan yang dimaksudkan (ekpsres dan transit) telahpun dimuktamadkan. Walhal ia baharu dalam perancangan.

Kedua-dua pihak Malaysia dan Singapura pastinya memerlukan masa untuk memperincikan lagi cadangan yang diterima. Ia sekaligus mengelakkan kedua-dua negara membuat keputusan terburu-buru yang tidak menguntungkan atau tidak memberi manfaat kepada semua pihak.

Sebelum ini The Edge pernah menimbulkan kekeliruan orang ramai berhubung 'berita hangat' terhadap 1MDB. Dakwaan-dakwaan tanpa asas berunsur persepsi serong itu telah berjaya meraih populariti dikalangan orang ramai.

Memetik laporan Bernama pada awal Jun 2015 lalu, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menafikan bahawa ia pernah membenarkan sebarang pemindahan dananya kepada pihak ketiga, selain daripada penerima manfaat yang diperuntukkan.

Menerusi kenyataan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda Kandasamy, syarikat itu (1MDB) memandang berat pelbagai dakwaan dalam laporan perniagaan mingguan The Edge Malaysia.

Sememangnya seronok apabila menerima populariti atau menaikkan hit pembaca. Namun, apakah penulisan cenderung kepada fitnah merupakan pencapaian yang perlu dibanggakan?

Melangkah ke tahun baharu 2016, alangkah eloknya pengamal-pengamal media seperti The Edge ini menulis bersandarkan kepada fakta yang tepat.

#TerimaFaktaTolakFitnah

1 comment:

  1. alang-alang dah sentuh fasal HSR nih mari kita bincangkan sama status tanah HSR nanti adakah dipajakkan kepada Malaysia-Singapore JV atau milik Kerajaan Persekutuan Malaysia melalui Kementerian Pengangkutan atau status yang bagaimana? Perkara ini sangat penting hingga sampai melibatkan kedaulatan negara! Perlu diperingatkan status pajakan tanah KTM selama 999 tahun di pulau Singapura telah dileburkan hasil "kepintaran" pemimpin kita. Juga pastinya kita tidak mahu lagi terikat dengan terma perjanjian "selagi ada bulan, bintang dan matahari" yang sangat popular digunakan oleh Kompeni Inggeris di zaman dahulukala...

    ReplyDelete