Monday, January 11, 2016

Berita PERMATA yang buat pembangkang PANAS





Permata Seni Tari serta Permata Seni Remaja Tari mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dalam Pertandingan Seni Festival Antarabangsa Winter Star of Dresden Keenam di Jerman baru-baru ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program Permata, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod berkata, kemenangan itu akan menjadi kayu pengukur dan bukti kepada masyarakat mengenai keberkesanan sistem pembelajaran yang terdapat di Permata.

Lebih membanggakan, katanya, peserta Permata Seni Tari turut memenangi tempat pertama dalam enam kategori yang dipertandingkan selain berjaya menewaskan lapan buah negara lain antaranya Armenia, Bulgaria, Iran, India, Rusia dan banyak lagi.

“Ini merupakan kali pertama anak-anak Permata Seni Tari menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa, semestinya ia menjadi kebanggaan kepada kami apabila mereka berjaya meraih kemenangan besar sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

“Malah, peserta Permata Seni Tari turut mendapat perhatian ketua juri yang memuji kesungguhan mereka ketika menyertai pertandingan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli dan Ketua Kareografer dan Jurulatih Permata Seni Tari, Muhammad Akmal Ayob.

Program Permata Seni Tari dilancarkan pada 20 Januari 2010 oleh isteri Perdana Menteri yang juga penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor bertujuan mencungkil dan mengasah bakat kanak-kanak serta remaja dalam bidang seni.

Pertandingan Seni Festival Antarabangsa Winter Star of Dresden yang bertemakan Festival Yang Menyatukan itu berlangsung selama enam hari bermula 3 hingga 8 Januari lalu anjuran The International Charitable Foundation dan merupakan festival di bawah Pertubuhan Eropah Festival Folklore (EAFF).

Menurut Siti Azizah, pihaknya merancang program jangka panjang bagi memantapkan fungsi dan peranan Permata Seni Tari dalam melahirkan modal insan yang seimbang dalam bidang akademik dan seni. - UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment