Monday, January 4, 2016

#2016 - Tiong Lai sentuh soal ekonomi dan nilai murni


Bagaimana sesebuah negara dapat berkembang maju dan berjaya dalam suasana masyarakat yang berpecah-belah?


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika menzahirkan perutusan sempena tahun baharu 2016 mengajak pembaca mengimbau kembali apa yang kita tempuh pada tahun 2015.

Katanya, tahun 2015 merupakan tahun yang mencabar buat kita sebagai rakyat Malaysia terutamanya apabila menyentuh soal ekonomi.

Tambah Tiong Lai, seluruh warga Malaysia bagaimanapun tidak menghadapi kesukaran ekonomi ini secara sendirian, sebaliknya ia turut menimpa masyarakat lain di seluruh dunia. Ia dapat dibuktikan apabila kebanyakan negara di seluruh dunia berdepan dengan cabaran pertumbuhan ekonomi yang begitu lembab.


Namun yang demikian, Tiong Lai turut memberi semangat buat rakyat Malaysia dalam menyusuri tahun baharu yang kini berusia kurang daripada seminggu.

"Sedang kita mengorak langkah menuju ke tahun baru, yakinlah bahawa Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bertujuan untuk meringankan beban kewangan Rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Antara inisiatif utama adalah dengan bermulanya pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11, yang dijangka akan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara."

Dalam masa sama, Tiong Lai yang juga merupakan Presiden MCA dan Ahli Parlimen Bentong itu melahirkan kesedihan beliau berhubung perpecahan yang berlaku dikalangan masyarakat majmuk dalam negara.

Ternyata, perpecahan yang mengaitkan sensitiviti kaum berupaya menghakis perpaduan yang terjalin sejak sekian lama di Malaysia.

Justeru itu, masyarakat diseru supaya menjadi lebih bertanggungjawab seterusnya menghayati nilai-nilai murni yang mencerminkan sifat jati diri warga Malaysia.

Inilah uniknya sebuah negara bernama Malaysia yang didiami masyarakat majmuk, pelbagai bangsa dan budaya.

Sikap mendukung dan menegakkan nilai-nilai penerimaan, penghormatan serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu dalam perjuangan mencapai kemerdekaan sewajarnya terus subur dalam jiwa rakyat Malaysia pada hari ini.

No comments:

Post a Comment