Tuesday, December 15, 2015

Orang di JPJ terkejut terima kunjungan Menteri


Satu lawatan secara mengejut dilakukan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Wangsa Maju semalam.

Tindakan turun padang secara mengejut ini dilakukan Tiong Lai semata-mata mahu melihat sendiri permasalahan-permasalahan yang diajukan oleh rakyat.

Penulis juga merupakan antara pelanggan yang sering berkunjung ke JPJ Wangsa Maju ini atas urusan melibatkan kenderaan dan juga perbaharui lesen memandu.


Ternyata lawatan Tiong Lai ini adalah untuk meninjau sendiri suasana sesak yang menjadi rutin di sini setiap hari. Malah kiosk atau mesin layan diri yang disediakan turut tidak mampu menampung bagi kemudahan orang ramai.

Setelah merasai sendiri apa yang dialami orang ramai, Tiong Lai mendapati bahawa tempoh masa menunggu di kaunter bagi urusan memperbaharui lesen memandu memakan masa lebih daripada 1 jam. Walhal tempoh yang disasarkan adalah dua kali ganda kurang daripada itu!


Apabila bertanyakan kepada pegawai JPJ yang bertugas di kaunter berkenaan, Tiong Lai diberitahu bahawa pelanggan yang datang ke cawangan tersebut dianggarkan seramai 800 orang setiap hari.

Oleh yang demikian, Tiong Lai telah mengarahkan lebih banyak lagi kaunter dibuka bagi membolehkan perjalanan urusan di situ lebih cepat dan lancar. Katanya, pengurangan masa menunggu merupakan antara yang terkandung di dalam Program Transformasi Kerajaan.


Sementara kiosk yang tidak beroperasi selepas waktu bekerja turut mendapat perhatian Tiong Lai. Sehubungan itu beliau akan mengangkat isu tersebut ke kementeriannya bagi menangani permasalahan yang wujud.

Tidak cukup dengan itu, tempat letak kereta yang agak berserabut di situ juga akan diperluaskan bagi memberi keselesaan buat orang ramai.

Sementara bagi tempoh jangka masa panjang pula, kementerian Pengangkutan akan memindahkan beberapa perkhidmatan JPJ kepada sistem dalam talian. 

Segala tindakan proaktif dan perancangan yang dilakukan ini adalah semata-mata memastikan keselesaan rakyat ketika berurusan di JPJ.


Semasa lawatan mengejut ini juga kelihatan Tiong Lai mendengar sendiri aduan secara terus daripada rakyat.

Penulis ada menerima respon daripada beberapa kenalan yang berurusan di JPJ pada ketika itu memuji tindakan sedemikian. Sikap prihatin seperti turun padang mencerminkan komitmen Menteri dalam usaha membela nasib rakyat. Apatah lagi ia adalah satu lawatan mengejut!

No comments:

Post a Comment