AdSense

Sunday, November 15, 2015

SPAD dijadikan platform suara industri teksi


Para pemandu dan pengusaha-pengusaha teksi menjadikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai platform mereka untuk membawa suara industri teksi di Malaysia.

Segala permasalahan dan apa jua isu yang melibatkan industri teksi akan diajukan kepada pihak SPAD. Ia seterusnya dijadikan sebagai pengantara atau orang tengah antara pemain-pemain industri teksi dengan pihak pembuat keputusan seperti kerajaan.

Lebih 1000 orang pemandu, pengusaha dan persatuan teksi Malaysia mengucapkan lafaz ikrar mereka pada Perjumpaan Ramah Mesra Industri Teksi bersama SPAD semalam.



Bahawasanya kami, pemandu-pemandu dan pengusaha perkhidmatan teksi, dengan sepenuh jiwa raga kami, BERIKRAR.

Bahawa kami, akan patuh dan mengamalkan, teras-teras perkhidmatan yang berkualiti, semasa menjalankan tugas. Bagi mencapai matlamat ini, kami :

  • Berganding bahu dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, dalam memajukan industri teksi di negara ini.
  • Mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
  • Bekerja dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna dan
  • Berazam untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi.


Antara mereka yang hadir adalah daripada Pertubuhan Pemandu Dan Pengusaha Teksi/Limosin Dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA), Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Selangor dan Wilayah, Persatuan Teksi Berjaya, Persatuan Pemandu TEKS1M Lembah Klang, Persatuan Teksi Kepong, Gabungan Syarikat, Marlis Coorperation, Destination Transport, Sunlight dan Public Cab.

Sementara Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar dalam ucapannya menyentuh soal permuafakatan antara industri teksi dengan agensi kerajaan itu. Katanya, semua agama mengajak kepada permuafakatan dan tidak pula menyuruh kepada perpecahan.


Sehubungan dengan itu, suara industri teksi akan bertambah kuat apabila mereka bersama-sama dengan SPAD dalam membawa apa jua isu mahupun permasalahan.

Dalam masa sama, ada juga perkara-perkara atau permintaan daripada pemain industri teksi yang berada diluar bidang kuasa SPAD. Soal GST dan harga bahan api umpamanya. Namun SPAD tetap berusaha untuk menyelesaikannya serta mendapatkan perhatian daripada kerajaan termasuk pihak pembuat dasar.

Cukup relevan amanat Syed Hamid itu. Apabila kesemua pemain di dalam industri teksi bersama-sama dengan SPAD maka apa jua isu, permasalahan bahkan tuntutan akan menjadi lebih mudah untuk ditangani. Apa yang lebih mustahak, permuafakatan bersama SPAD dan dijadikan sebagai platform mengangkat suara industri teksi ini merupakan kaedah yang lebih baik dan tepat!

No comments:

Post a Comment