AdSense

Sunday, October 18, 2015

Lepas SPAD bertungkus lumus banteras aplikasi haram, persatuan Teksi desak SKMM lanjut tindakan


Tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung pengharaman aplikasi atas talian khususnya UBER dan GrabCar ternyata disambut baik oleh persatuan teksi - Pertubuhan Pemandu Dan Pengusaha Teksi/Limosin Dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA).

Lanjutan itu, PETEKMA mendesak pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar dapat menyekat terus aplikasi atas talian tersebut daripada terus bermaharajalela.


"SPAD sudah memainkan peranan yang cukup baik setakat ini. Mereka (SPAD) sudah tangkap ramai pemandu UBER dan pemandu tak pakai meter. Tetapi kita kena faham kekangan SPAD.

Berapa ramai penguatkuasa yang mereka ada berbanding dengan 35 ribu jumlah pemandu teksi di Lembah Kelang.

"Sedia maklum, mereka (UBER) memberikan perkhidmatan mereka kepada orang ramai tanpa memiliki insurans. Maka ini mengundang risiko tinggi kepada pengguna, apatah lagi kenderaan UBER ini boleh dipandu oleh sesiapa sahaja.

"Secara global, kita dapt lihat macam-macam kes sudah berlaku antaranya rompakan, rogol dan kemalangan tetapi penumpang tidak boleh membuat sebarang tuntutan."

Demikian luahan Pengerusi PETEKMA Mohd Syahrir Abdul Aziz selepas menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, semalam.

Sememangnya SPAD acap kali melancarkan kempen kesedaran mengenai gejala teksi haram yang secara jelas melanggar undang-undang dibawah kesalahan Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APDA) 2010.

Sebanyak 470 kes direkodkan dari tahun 2011. Bagi tahun ini sahaja, sebanyak 240 kes dibuka. Sementara 144 kes daripadanya melibatkan beberapa aplikasi. Ia termasuklah aplikasi :

GRABCAR - 97 kes
UBER - 43 kes
Easy Taxi - 3 kes
Blacklane - 1 kes

Sementara status kes :

No Further Action (NFA)  - 10 Kes.
Denda Mahkamah - 13 Kes.
Kompaun - 9 Kes.
Proses Makhamah - 49 Kes.
Proses Penyiasatan - 63 Kes
Status Mohon Lucut Hak untuk Kes Melibatkan Penggunaan Apps - 110 kenderaan.

Dalam perkembangan lain, memorandum yang dihantar PETEKMA adalah merupakan harapan pemandu teksi kepada kerajaan supaya kekal untuk tidak mengabaikan kepentingan mereka dalam Bajet 2016 yang dijangka dibentangkan 23 Oktober ini.

Kandungan empat perkara di dalam memorandum yang diserahkan kepada Penasihat Sosial dan Kebudayaan Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim yang juga merupakan penasihat PETEKMA itu ialah,

1. Pengurangan / Penundaan kenaikan harga NGV.
2. Pengurangan tol dalam bandar
3. Pengurangan GST bagi pengangkutan awam.
4. Penutupan aplikasi haram atas talian.

Jelas Syahrir, kenaikan harga NGV (lebih 45 peratus) dilihat tidak sama imbang dengan kenaikan tambang teksi sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.

Begitu juga dengan kenaikan tol dalam bandar dan 2 tol di Lembah Klang yang tidak memberikan potongan 50 peratus kepada kenderaan kelas 4.

Manakala GST pula telah menyebabkan peningkatan kos operasi kepada pemandu teksi ini sedangkan pengguna tidak dikenakan caj dalam sistem percukaian baharu itu.

"Tiga elemen ini, ditambah pula dengan tindakan mereka yang 'potong jalan' apabila tidak membayar insurans lebih, yuran proses malah tidak berlesen, tidak perlu proses PUSPAKOM seperti perkhidmatan aplikasi UBER dan GrabCar," kesal beliau.

Sebab itu Syahrir bersama rakan-rakan dalam PETEKMA berhasrat untuk terus berunding dengan kerajaan dengan cara lebih profesional. PETEKMA menggunakan saluran yang lebih bertamadun dalam usaha memperjuangkan hasrat mereka sekaligus menolak cara demonstrasi jalanan yang menjadi amalan segelintir pihak terutamanya dikalangan parti pembangkang.

No comments:

Post a Comment