Perkara ini mungkin satu isu yang remeh. Tetapi tidak bagi sebilangan besar masyarakat di Taman Indah, Ipoh.
Kewujudan sebuah pondok sejak sekian lama mengundang perasaan tidak selesa masyarakat di sini, terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran dengan sebuah padang dan taman rekreasi.
Pondok ini dibina di atas bahu jalan, yang menggunakan ruang padang rekreaksi di taman berkenaan.
Penduduk berasa hairan kerana aduan yang diadukan kepada pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak mendapat respon.
Lebih mengejutkan, individu yang membuat aduan ini telah menerima kecaman daripada pemilik pondok ini. Ini menunjukkan sikap tidak profesional anggota MBI yang mengadu domba identiti pengadu.
Sudahlah tidak menyelesaikan masalah dan menjadi orang tengah, tetapi seolah-olah cuba mencetuskan pergaduhan antara masyarakat setempat.
Penulis percaya pihak MBI sedia maklum mengenai kewujudan pondok di kawasan terbabit. Aktiviti golongan muda 24/7 di pondok ini amatlah merunsingkan penduduk setempat. Apa aktiviti mereka di situ? Jika mahu menjaga keselamatan awam, pastilah ada pasukan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) atau RELA di pintu masuk taman, bukannya di hujung taman.
Soal kedua pula adalah melibatkan parkir. Kehadiran golongan muda yang 'melepak' di pondok ini menyebabkan ruang bahu jalan menjadi sempit. Sehingga menyebabkan penduduk setempat terpaksa meletakkan kenderaan mereka berada jauh daripada kediaman mereka.
Perkara ini berlanjutan sejak sekian lama. Malah pondok ini semakin membesar. Ada ruang bawah dan atas.
Sampai bila perkara ini dipandang sepi? Dimana hak penduduk yang lain jika pihak MBI tetap dengan sikap 'membela' pemilik pondok ini? Apa besar sangat pemilik pondok ini? Apa kuasa pemilik pondok ini sehingga menafikan hak masyarakat setempat? Atau sememangnya ada peruntukkan yang membenarkan pembinaan pondok di bahu jalan dan padang awam di Ipoh?
No comments:
Post a Comment