Thursday, October 11, 2012

Persepsi buruk terhadap isteri PM dijawab!

Portal pembangkang sekali lagi terkedu dengan kegagalannya untuk memberi persepsi buruk terhadap kerajaan pemerintah.

Baru-baru ini kecoh apabila portal pembangkang tersebut membuat cerita bahawa pejabat kedutaan Malaysia di Qatar ditutup atas alasan lawatan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ikuti temubual eksklusif wartawan KL POS ini :


DOHA 11 Okt - Isu yang membabitkan penutupan Kedutaan Malaysia di sini kerana lawatan rasmi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah mendapat kenyataan balas daripada Yang Terutama Ahmad Jazri Mohd. Johar, Duta Malaysia di Qatar.

Menurut Ahmad Jazri, kenyataan tersebut (pejabat ditutup) adalah benar tetapi operasi perkhidmatan tetap berjalan seperti biasa dan lokasi dipindahkan ke bilik sekretariat yang terletak di Hotel St. Regis berhampiran pejabat kedutaan."Memang benar pejabat Kedutaan Malaysia ditutup, tetapi kami masih menjalankan operasi seperti biasa. Mereka (rakyat Malaysia) boleh menghubungi kami jika mereka menghadapi kesulitan dan kami akan membantu.

"Kami perlu meneruskan operasi di bilik sekretariat yang terletak di Hotel St. Regis kerana faktor kekurangan pegawai. Hanya tiga pegawai sahaja yang boleh mengesahkan dokumen rakyat Malaysia di sini. Jika kami tidak berbuat demikian (tutup pejabat), pegawai kami akan 'terkejar-kejar' untuk menguruskan pelbagai hal," katanya kepada KLPOS ketika ditemui di Pejabat Kedutaan Malaysia di Qatar di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta memberi penjelasan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah 'online media' yang menyatakan bahawa Kedutaan Malaysia di Doha ditutup kepada orang ramai selama tiga hari ekoran lawatan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke negara itu.Tambah Ahmad Jazri, notis pekeliling telah dikeluarkan oleh pejabat kedutaan itu menerusi Persatuan Malaysia Qatar (MAQ) serta turut digantung di hadapan pintu pejabat kedutaan sebagai makluman kepada rakyat Malaysia yang ingin berurusan dengan pegawai kedutaan.

"Kami telah menggantung notis mengenai penutupan pejabat serta dengan nombor telefon bagi memudahkan mereka menghubungi kami jika ingin berurusan. Jadi, isu penutupan pejabat kedutaan kerana lawatan Datin Seri Rosmah adalah tidak benar sama sekali kerana kami masih menjalankan operasi dibilik sekretariat," ujarnya. Selain itu, beliau turut menafikan sekeras-kerasnya mengenai kenyataan yang mendakwa penutupan ini merupakan pertama kali dibuat oleh pejabat kedutaan untuk melayan tetamu negara.

"Prosedur yang sama (tutup pejabat dan beroperasi di bilik sekretariat) dijalankan jika lawatan rasmi diadakan di negara ini, bukan hanya untuk lawatan Datin Seri Rosmah. Dulu, Perdana Menteri dan Yang DiPertuan Agong datang melawat Qatar, kami tetap tutup pejabat, tetapi operasi masih berjalan," ujarnya.Seharusnya, spekulasi mengenai pejabat kedutaan ini ditutup tidak seharusnya timbul kerana bilik sekretariat yang menjalankan operasi kedutaan hanya terletak 5 minit sahaja daripada pejabat Kedutaan Malaysia yang sebenar.

"Kami telah sertakan nombor telefon pada notis, dan juga laman web MAQ agar rakyat Malaysia yang ingin berurusan dengan kami dapat menghubungi kami terlebih dahulu sebelum membuat perjalanan terus ke sini. Kami juga tidak mahu rakyat Malaysia berasa kecewa tidak dapat berurusan dengan kami setelah melalu perjalanan yang jauh," ujarnya lagi.

SUMBER : KL POS http://www.klpos.com/ekslusif/20381-penjelasan-isu-penutupan-kedutaan-malaysia-di-qatar

No comments:

Post a Comment