Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh perlu terima hakikat bahawa parti kita Barisan Nasional (BN) telah tewas di Kemaman di mana pihak lawan menang dengan majoriti 37,220.
Bukan MCA sahaja perlu cermin diri, tetapi kita semua parti komponen BN perlu cermin diri kerana calon kita bertanding atas tiket BN.
Kita perlu muhasabah diri, lihat dan perbaiki kelemahan. Bukannya masih hanyut dengan sindrom penafian. Usahlah sikit-sikit asyik memberi amaran kepada pihak lain dan cuba menjadi hero serta meraih populariti yang tidak memberi manfaat atau nilai tambah kepada BN. Perhalusi terlebih dahulu adakah teguran atau gesaan itu kearah kebaikan BN atau sebaliknya. Usahlah terlalu cepat melatah.
Jadikan kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan sebagai rujukan dan panduan untuk kita maju ke depan.
Dalam masa sama, menurut Tok Mat Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO, kita tidak boleh tergelincir dari landasan kesederhanaannya. Ia adalah benteng penting untuk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
https://www.facebook.com/TokMatHasanN9/posts/892195102254636
Marilah kita berusaha bersama mencari penyelesaian masalah dan terima dengan hati terbuka setiap pandangan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bersama cermin diri, perbaiki diri dan perkuatkan diri bersama untuk kepentingan BN, rakyat serta negara. Sebagai Ketua Pemuda, pimpinlah Pemuda BN keluar daripada kepompong kebencian rakyat sebelum nasi menjadi bubur.
Kita semua sayangkan BN.
Chua Hock Kuan
Pengerusi MCA Kelantan
7 Disember 2023
No comments:
Post a Comment