Tuesday, March 5, 2024

LAWAN KING SING IBARAT MENAFIKAN MALAYSIA NEGARA MAJMUK


Media melaporkan jumlah penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2023 dianggarkan 33.5 juta, meningkat 1.8 peratus berbanding suku tahun ketiga 2022 (32.9 juta).


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin juga berkata, kaum Melayu menyumbang 67.3 peratus (74,202 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun ketiga 2023 (ST3 2022: 68.2%).


Kelahiran hidup bagi Cina dan India masing-masing menurun kepada 9.0 peratus dan 3.8 peratus berbanding 9.7 peratus dan 4.2 peratus pada suku tahun ketiga 2022.


Manakala, bumiputera lain merekodkan peningkatan kepada 14.2 peratus pada suku tahun ketiga 2023 (ST3 2022: 12.9%).


https://malaysiagazette.com/2023/11/07/jumlah-penduduk-negara-33-5-juta-setakat-suku-ketiga-2023/#


Ini membuktikan bahawa Malaysia sememangnya sebuah negara majmuk.


Sejak kebelakangan ini nama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato Seri Tiong King Sing sering disebut dan dijadikan punching bag oleh segelintir pihak terutama pembangkang yang kini mendabik dada mempunyai sokongan solid orang Islam Melayu.


Isu Bak Kut Teh yang dijadikan makanan warisan hangat diperkatakan, dari kedai kopi hinggalah ke Dewan Rakyat.


Sebenarnya isu ini sengaja disensasikan kerana cuba meraih sokongan dan mengekalkan momentum atau membakar semangat orang Islam di Malaysia. Malah, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh turut terperangkap dengan isu ini sehingga mengeluarkan kenyataan tanpa menghiraukan keharmonian masyarakat.


Isu Bak Kut Teh juga dibincangkan oleh golongan pemikir, akademik dan cendiakawan. Misalnya Prof Tajuddin yang turut mengupas isu ini. Sebagai penganut Islam, Prof Tajuddin menerangkan isu ini dengan cukup baik dan meraikan kepelbagaian sepertimana yang dituntut dalam Islam.


https://youtu.be/7RxnHhStomA?feature=shared


Secara ringkas isu Bak Kut Teh :


  • Ia bermaksud daging, bukan babi / khinzir


  • Bak Kut Teh diperkenal oleh orang Malaysia di Klang.


  • Sup herba ini dibuat dalam pelbagai versi mengikut citarasa masing-masing. Ada yang guna ayam dan lembu. Malah ada juga yang hanya diletak sayur bagi vegetarian.


  • Sama seperti Dim Sum, makanan yang kini menjadi kegemaran orang Islam Melayu, malah ramai yang mengusahakan produk Dim Sum halal.


  • Ini bukan paksaan untuk mana-mana pihak memakan Bak Kut Teh, apatah lagi memaksa orang Islam memakan babi/khinzir.


  • Jika tidak dijadikan makanan warisan kita, pasti ia merugikan. Macam Nasi Lemak, jika Indonesia tuntut ia sebagai makanan warisan mereka, maka pelancong asing akan percaya Nasi Lemak berasal dari Indonesia dan lebih berminat melancong ke Indonesia berbanding Malaysia, terutama kepada pemburu makanan.


  • Bukan Bak Kut Teh saja, tapi Burasak, mi kolok dan nasi ambeng antara 10 jenis hidangan diwartakan sebagai makanan warisan negara dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024.


https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/651142


Kesimpulannya, biarlah kehidupan kita di Malaysia yang majmuk ini berjalan dengan harmoni. Seperti angka di atas, bukan kita orang Melayu sahaja yang mendiami Malaysia. Sebaliknya kita hidup bersama dengan pelbagai kaum. Kita juga diciptakan dengan pelbagai perbezaan supaya kita saling memahami antara satu sama lain.


King Sing hanya menjalankan tanggungjawab untuk masyarakat dan negara. Melawan beliau membuta tuli dengan fitnah dan persepsi perkauman termasuk menjadikan tarian beliau sebagai pemimpin Sarawak di Rumah Panjang sebagai senjata untuk pembunuhan karakter, bukanlah langkah tepat kerana ia umpama menafikan kepelbagaian di negara kita. 


Suaralensa

5 Mac 2024



No comments:

Post a Comment