Tuesday, March 27, 2018

Grab ambil alih Uber. SPAD kekal pendirian utamakan hak pengguna dan pemandu


Ramai yang terkejut bila Grab mengumumkan pengambilalihan syarikat pesaingnya, Uber.

Sedia maklum, penyedia perkhidmatan e-panggilan Asia Tenggara, Grab, mengambil alih operasi Uber Asia Tenggara secara rasmi daripada Uber Technologies Inc.


Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama dan Ketua Eksekutif Kumpulan Grab, Anthony Tan, pengambilalihan itu menandakan permulaan era baru di mana penggabungan itu menyaksikan ia menjadi peneraju dalam platform dan kecekapan kos di rantau ini.

Media melaporkan, pengambilalihan itu akan membolehkan Grab menyediakan perkhidmatan asas bagi penjagaan pelanggan paling banyak di rantau ini dengan membabitkan segmen pengangkutan selamat dan berpatutan, penghantaran bungkusan dan makanan, pembayaran mudah alih dan perkhidmatan kewangan.

Untuk makluman, aplikasi Uber akan terus beroperasi selama dua minggu untuk memastikan kestabilan pemandu Uber yang sedang beralih ke Grab manakala, Uber Eats akan beroperasi sehingga akhir Mei di mana selepas itu rakan restoran dan penghantarannya akan berpindah ke GrabFood.

Dalam masa sama, soal pemantauan dan pengawalseliaan sektor e-hailing di negara ini kekal dalam pemerhatian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


SPAD dalam kenyataan medianya hari ini memberitahu pihaknya akan terus memantau dan menyelia sektor e-hailing berdasarkan rangka perundangan dan polisi yang sedia ada agar industri ini mampu berkembang sejajar dengan medan persaingan yang sihat, tahap keselamatan operasi yang baik, serta memastikan kebajikan penumpang dan pemandu sentiasa terpelihara.

Bagi memastikan hak pengguna terjamin di bawah gabungan Grab-Uber, pihak SPAD akan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan seperti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Malaysia Competition Commission) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang relevan agar pengguna dilindungi daripada amalan yang tidak adil.

Pada masa yang sama, SPAD akan memastikan bahawa industri teksi dan e-hailing akan beroperasi dan bersaing secara adil di bawah inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme dan daya saing teksi konvensional.

No comments:

Post a Comment