AdSense

Friday, January 13, 2017

'Pemandu teksi' tipu pelancong, ini akibatnya...


Antara agensi yang aktif di media sosial ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Lihat saja laman rasmi mereka di Facebook, setiap komen dan pertanyaan pengguna media sosial pasti akan dijawab dengan baik.


SPAD bukan hanya memberi maklum balas atau respon pantas di media sosial saja tetapi juga bertindak secara proaktif di lapangan.

Pantang ada isu yang membabitkan pengangkutan awam, keselamatan dan pengguna, pihak SPAD tanpa berlengah-lengah pasti mengatur langkah tindakan.

Misalnya kejadian penipuan tambang teksi tidak munasabah yang berlaku kepada pelancong baru-baru ini. Menurut aduan pelancong terbabit, tambang sebanyak RM800 dikenakan oleh seorang pemandu teksi bagi satu perjalanan daripada KLCC ke Masjid Negara!

Tindakan tidak bertanggungjawab pemandu teksi ini secara jelas mencemar nama baik khususnya pemandu teksi dan Malaysia secara amnya.

Pihak SPAD dengan pantas dan tegas membatalkan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan pemilik  teksi berkenaan yang didapati mengingkari keperluan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD).

Untuk makluman pembaca, hanya seorang pemandu sah yang berdaftar dengan SPAD sahaja dibenarkan memberikan perkhidmatan teksi dan juga mewajibkan penggunaan meter bagi menentukan tambang teksi bajet serta menyatakan keperluan pengeluaran resit bagi perjalanan.

Tidak cukup dengan itu, SPAD juga akan memulakan tindakan undang-undang terhadap pengendali tersebut.

SPAD dalam kenyataan bertarikh 11 Januari memberitahu, hukuman denda dan/atau penjara dan pelucutan hak kenderaan boleh dijatuhkan kepada pengendali terbabit sekiranya didapati bersalah.

Ketika siasatan dijalankan oleh SPAD, pemegang Lesen Pengendali menyatakan bahawa kenderaan terbabit tidak berada di dalam milikannya dan sedang dipandu oleh individu berlainan.

Walaupun begitu, kenderaan tersebut telah ditemui menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah disita oleh SPAD di bawah Seksyen 81 APAD. SPAD sebelum itu telah membuat laporan polis untuk mengesan pemandu teksi yang terbabit dengan kejadian penipuan penumpang ini.

Dalam kenyataan sama, SPAD turut memberikan peringatan yang tegas kepada pemegang Lesen Pengendali supaya sentiasa mematuhi keperluan pelesenan dan tidak melanggar undang-undang. Demi meningkatkan mutu perkhidmatan teksi negara, Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang mengingkari peraturan dan mengambil kesempatan ke atas penumpang.

Namun yang demikian, ada segelintir pemandu teksi yang merasakan kejadian penipuan di atas sebagai satu rancangan jahat segelintir pihak yang sengaja mahu memburuk-burukkan imej teksi dalam negara.

Tidak bagi penulis. Ini kerana kejadian penipuan sedemikian sudah sebati dikalangan sesetengah pemandu teksi. Pernah terjadi depan mata penulis, pemandu teksi tanpa segan silu menawarkan tambang mahal tanpa menggunakan meter kepada pelanggannya - sekeluarga pelancong asing.

Kejadian yang berlaku di hadapan pintu masuk bangunan Pasar Seni itu menyedarkan penulis bahawa sikap pemandu teksi ini sukar untuk diubah. Lebih mengecewakan, segelintir daripada pemandu teksi ini cukup gemar menuduh pihak lain di atas kesalahan diri sendiri.

Penulis percaya, tidak semua pemandu teksi yang bersikap jijik. Buat mereka yang sering menipu penumpang, insaflah. Sedarlah tindakan anda itu bukan sahaja mencemar industri teksi tetapi juga imej Malaysia.

Jika kalian boleh bersatu dalam penganjuran protes atau mogok, kenapa tidak boleh bersatu dalam soal mengubah sikap menjadi lebih baik?

No comments:

Post a Comment